Banjir di Selangor pulih, mangsa di Perak berkurangan

Situasi banjir di Selangor pulih dengan penutupan PPS terakhir di Kuala Selangor. Foto fail Bernama
Situasi banjir di Selangor pulih dengan penutupan PPS terakhir di Kuala Selangor. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Situasi banjir di Selangor pulih sepenuhnya dengan penutupan pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Kuala Selangor pada Isnin, manakala jumlah mangsa di Perak merekodkan penurunan pagi Selasa.

Di SELANGOR, banjir di negeri itu pulih apabila PPS terakhir iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Pasangan, Kuala Selangor yang menempat 38 mangsa daripada 12 keluarga di sebelah pagi, ditutup pada 3 petang Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan ketika dihubungi berkata, semua mangsa dari Kampung Asahan dibenarkan pulang semalam dan keadaan banjir di sekitar daerah itu juga kembali nornal.

Katanya, sebanyak 20 PPS dibuka sejak 24 November lalu dengan 29 kawasan di seluruh daerah itu dikenal pasti terjejas banjir.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir pagi ini berkurangan sedikit kepada 411 orang daripada 122 keluarga yang masih ditempatkan di lima PPS di tiga daerah, berbanding 487 mangsa daripada 140 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan PPS Dewan Rumah Rehat MPTI Bandar Baru di Hilir Perak, yang sebelum ini menempatkan 45 orang daripada 10 keluarga, telah ditutup sepenuhnya pada 8.30 malam tadi.

PPS Dewan Kompleks Belia dan Sukan Bagan Datuk masih mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 142 orang daripada 45 keluarga daripada lapan kampung di daerah itu.

Di Manjung, 140 mangsa daripada 40 keluarga ditempatkan di dua PPS, manakala di Hilir Perak, 129 mangsa daripada 37 keluarga masih berlindung di dua PPS.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut meramalkan hujan lebat dan ribut petir pada sebelah pagi di tiga daerah yang terjejas teruk akibat banjir. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Situasi banjir di Selangor pulih dengan penutupan PPS terakhir di Kuala Selangor
  • PPS terakhir di Selangor, SRA Pasangan, Kuala Selangor ditutup setelah keadaan banjir pulih
  • Jumlah mangsa banjir di Perak berkurangan kepada 411 orang dari 122 keluarga
  • PPS Dewan Rumah Rehat MPTI Bandar Baru di Hilir Perak ditutup sepenuhnya
  • Hujan lebat dan ribut petir diramalkan di tiga daerah di Perak yang terjejas teruk akibat banjir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!