Naim berharap ayahnya, Bung Moktar pulih sepenuhnya

Laporan Sinar Harian berhubung keadaan Bung Moktar yang kurang sihat dan kini dirawat di hospital
Laporan Sinar Harian berhubung keadaan Bung Moktar yang kurang sihat dan kini dirawat di hospital
A
A
A

KOTA KINABALU – Anak kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, iaitu Naim Kurniawan Moktar, berharap agar ayahnya yang kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu diberikan kesembuhan sepenuhnya.

Naim Kurniawan, menerusi satu laporan portal berita pada Khamis berkata, beliau dan keluarga masih menaruh harapan tinggi terhadap perkembangan kesihatan ayahnya yang dilaporkan berada dalam keadaan kurang sihat.

“Kami berharap dan berdoa agar beliau pulih sepenuhnya, sementara pasukan perubatan memberikan rawatan terbaik,” katanya.

Dalam hantaran berasingan di Facebook, Naim turut menzahirkan penghargaan kepada para imam di Lamag yang mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesembuhan ayahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tersebut.

“Selaku wakil keluarga, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh imam di Lamag yang telah berusaha mengadakan solat hajat serta memohon doa kepada Allah SWT demi kesihatan ayahanda saya.

“Doa dan keprihatinan para imam amat kami hargai dan menjadi sumber kekuatan kami sekeluarga. Semoga Allah SWT memberkati segala usaha dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda kepada tuan-tuan,” katanya.

Isteri beliau, Datin Seri Zizie Izette A Samad, turut memuat naik sekeping foto di Instagram disertai kata-kata yang mencerminkan perasaan dan keteguhan hatinya dalam menghadapi ujian ini.

“Mungkin mereka tidak mengenali hatinya, tetapi saya mengenalinya. Selama 16 tahun, saya menyaksikan sifat baiknya, kemurahan hatinya, serta kasih sayangnya yang tidak mementingkan diri terhadap orang lain. Tolong sisipkan dia dalam doa anda,” tulisnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, ketika dihubungi Sinar Harian, memaklumkan bahawa Bung Moktar hanya memerlukan rawatan dan rehat ketika ini.

Artikel Berkaitan:

“Perlu rawatan dan rehat saja, okey,” jawabnya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, turut memuat naik hantaran di media sosial bagi mendoakan kesembuhan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu.

“Saya mendoakan agar Datuk Seri Bung Moktar Radin diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan beliau.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada beliau serta seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian ini. Sesungguhnya setiap dugaan ada hikmahnya. Insha-ALLAH, mudah-mudahan beliau segera pulih dan kembali seperti sediakala,” katanya.

Ringkasan AI

  • Anak Datuk Seri Bung Moktar Radin, Naim Kurniawan Moktar, berharap ayahnya yang sedang dirawat di hospital pulih sepenuhnya
  • Naim menzahirkan penghargaan kepada imam di Lamag yang mengadakan solat hajat untuk kesembuhan ayahnya
  • Datin Seri Zizie Izette A Samad menceritakan sifat baik Bung Moktar di laman sosial
  • Ketua Penerangan UMNO Sabah menyatakan Bung Moktar memerlukan rawatan dan rehat
  • Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, turut mendoakan kesembuhan Bung Moktar di media sosial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!