Ratusan pasangan raja sehari ditipu syarikat perancang perkahwinan

Jumlah kerugian kesemua pasangan pengantin berkenaan dianggarkan antara RM4.3 hingga RM4.6 juta. - Gambar dijana AI
Jumlah kerugian kesemua pasangan pengantin berkenaan dianggarkan antara RM4.3 hingga RM4.6 juta. - Gambar dijana AI
A
A
A

JAKARTA – Ratusan pasangan raja sehari di Jakarta dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat perancang perkahwinan selepas beberapa majlis kendalian firma itu gagal dilaksanakan mengikut janji pada Sabtu lalu.

Kejadian tersebut melibatkan syarikat milik seorang wanita yang menguruskan beberapa majlis di Jakarta Barat dan Jakarta Utara, namun ramai pasangan mendakwa perkhidmatan penting seperti katering tidak disediakan langsung, manakala lokasi majlis hanya dihias separuh siap.

Seorang mangsa, Tamay, 26, berkata masalah itu mula disedari selepas seorang jurusolek pengantin memuat naik kejadian tersebut ke TikTok, sebelum ramai lagi tampil mendedahkan pengalaman serupa.

“Ada beberapa majlis pada Sabtu itu, tetapi semuanya bermasalah. Katering langsung tidak muncul, yang ada cuma dekorasi,” katanya ketika dihubungi KOMPAS.com pada Ahad.

Mangsa-mangsa kemudian menubuhkan satu kumpulan WhatsApp bagi berkongsi maklumat dan menyelaraskan tindakan lanjut.

Hasil perbincangan mereka mendapati sekitar 230 pasangan terjejas sama ada bagi majlis yang telah berlangsung atau yang akan diadakan.

Menurut Tamay, jumlah kerugian yang direkodkan setakat ini antara Rp15 hingga Rp16 bilion, (RM4.3 hingga RM4.6 juta.)

Syarikat penganjur perkahwinan itu dipercayai menawarkan pakej serupa pada harga menarik kepada ramai pelanggan, sekali gus menyebabkan jumlah mangsa meningkat.

Pemilik syarikat bersama kakitangan pemasaran kini berada di Ibu Pejabat Polis Jakarta Utara bagi membantu siasatan, namun mangsa mendakwa mereka masih belum menerima penjelasan jelas mengenai kegagalan majlis yang diuruskan.

Artikel Berkaitan:

“Semuanya sudah berada di balai polis, termasuk pemilik dan pihak pemasaran. Mereka memberi alasan yang tidak jelas, kami masih tidak tahu apa sebenarnya berlaku,” kata Tamay.

Bagi pasangan yang belum melangsungkan perkahwinan wang mereka tidak boleh dituntut kembali kerana kes tersebut dianggap belum memenuhi unsur penipuan mengikut undang-undang.

“Kami yang majlisnya masih lama tidak boleh menuntut semula bayaran kerana acara belum berlaku. Tetapi kami bimbang perkara sama akan terus berulang,” ujarnya.

Tular di media sosial bahawa wanita yang merupakan pemilik syarikat berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Metro Jaya oleh keluarga salah seorang mangsa, namun selepas kira-kira empat jam diambil keterangan, wanita itu didakwa dibebaskan kerana mendakwa telah ‘mencapai persetujuan’ dengan sebahagian pelanggan.

“Maklumat dalam kumpulan kami mengatakan dia dibebaskan kerana mengaku telah berunding dengan beberapa mangsa,” kata seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Akmal.

Setakat ini, pihak Polis Metro Jaya dan Polis Jakarta Utara belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kes berkenaan. - Kompas.com

Ringkasan AI

  • Ratusan pasangan raja sehari di Jakarta menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat perancang perkahwinan
  • Pasangan mendakwa perkhidmatan katering tidak disediakan dan lokasi majlis hanya dihias separuh siap
  • Mangsa-mangsa menubuhkan kumpulan WhatsApp untuk menyelaraskan tindakan lanjut dan mendapati sekitar 230 pasangan terjejas
  • Jumlah kerugian yang direkodkan mencecah Rp15 hingga Rp16 bilion
  • Pemilik syarikat dan kakitangan pemasaran berada di Ibu Pejabat Polis Jakarta Utara bagi membantu siasatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!