Polis bongkar sindiket siber dari India pindah duit ke Dubai dan China

AHMEDABAD – Sindiket jenayah siber berpangkalan di Bhavnagar, Gujarat yang didakwa mengalirkan lebih Rs 719 crore (RM331 juta) hasil penipuan ke Dubai dan China, berjaya dibongkar selepas siasatan khas oleh Pusat Kepakaran Siber (Cyber CoE) Gandhinagar.
Polis Gujarat berkata, seramai 10 individu ditahan, termasuk dua kakitangan bank yang dipercayai membuka dan menguruskan rangkaian akaun bank digunakan sebagai ‘mule’ bagi memindahkan dana penipuan.
Siasatan mendapati sindiket berkenaan menggunakan sebanyak 110 akaun 'mule' untuk menerima dan memproses wang daripada 1,594 kes penipuan di 26 negeri dan enam wilayah persekutuan di seluruh India.
Menurut polis, dana yang dikumpulkan itu akan dipindahkan ke 130 akaun penerima lain sebelum dihantar ke luar negara melalui pengendali sindiket di Dubai dan China.
Antara yang ditahan ialah Alpesh Makwana, Mahendra Makwana, Pratik Waghani, Vipul Dangar, Jayrajsinh Raijada, Guruprabsingh Tank, Tejas Pandya dan Divyarajsinh Zala selain dua pekerja IndusInd Bank, Abubakarbin Shaikh dan Parth Upadhyay.
Difahamkan, kakitangan bank tersebut membantu membuka akaun baharu dalam jumlah besar sekali gus membolehkan sindiket mengelakkan pemeriksaan ketat pihak berkuasa kewangan.
Pegawai penyiasat berkata, sebahagian besar dana diproses melalui akaun-akaun ini sebelum ditukar kepada wang tunai dan kriptowang USDT, kemudian dihantar kepada pengendali di Dubai menggunakan rangkaian angadia serta dompet kripto.
Polis percaya Divyarajsinh Zala merupakan individu yang menghubungkan kumpulan itu dengan pihak luar negara selain mengurus transaksi kripto berskala besar.
Laporan turut menyebut wang haram itu diperoleh daripada pelbagai penipuan dalam talian termasuk penipuan pelaburan, vishing, penipuan sistem pembayaran digital, deposit palsu, penipuan pekerjaan dan pelbagai modus operandi lain.
Kes itu mula terbongkar selepas Financial Intelligence Unit (FIU) mengesan transaksi mencurigakan melibatkan beberapa akaun yang kerap digunakan dalam tempoh singkat.
Susulan amaran FIU, Cyber CoE Gandhinagar memulakan risikan dan berjaya mengenal pasti rangkaian akaun 'mule' yang saling berkait serta dikawal oleh anggota sindiket di Bhavnagar.
Polis berkata, jumlah keseluruhan transaksi yang dikenal pasti setakat ini mencecah Rs 719.79 crore (RM331.5 juta), namun angka sebenar dijangka lebih besar memandangkan siasatan masih dijalankan.
Selain itu, pihak berkuasa sedang mengenal pasti individu lain yang dipercayai terlibat dalam pembukaan akaun, pengurusan transaksi serta pengaliran dana ke luar negara.
Menurut polis, beberapa lagi tangkapan dijangka dilakukan berikutan bukti digital menunjukkan rangkaian itu beroperasi lebih besar daripada apa yang ditemui setakat ini.- Times of India
Ends
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

