Hubungan Sabah-Persekutuan pasca PRN

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini wajar dibaca melangkaui soal kalah dan menang.
Ia membawa makna yang jauh lebih besar terhadap hala tuju pembangunan negeri serta corak hubungan strategik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
Dalam sistem negara persekutuan seperti Malaysia, kestabilan politik di peringkat negeri bukan sekadar isu tempatan tetapi turut mempengaruhi keupayaan kerajaan Persekutuan merangka dan melaksanakan agenda pembangunan nasional secara menyeluruh.
Sabah bukan sekadar sebuah negeri di pinggir peta politik negara.
Ia adalah wilayah strategik daripada sudut keselamatan, geopolitik dan ekonomi terutamanya sektor sumber semula jadi, pertanian, perikanan serta ekonomi biru.
Maka, keputusan rakyat Sabah dalam PRN harus dibaca sebagai isyarat jelas mereka mahukan kestabilan, tadbir urus yang berfungsi dan pembangunan benar-benar dirasai, bukan sekadar retorik bermusim.
Sejak sekian lama, isu pembangunan di Sabah sering menjadi modal politik sepanjang kempen pilihan raya.
Janji demi janji ditabur, daripada lebuh raya, sekolah, hospital, bekalan air dan elektrik sehinggalah jaringan internet.
Namun pelaksanaan di lapangan kerap terganggu akibat perubahan politik, ketidaktentuan pentadbiran serta pertembungan kepentingan.
Pasca PRN ini, ruang untuk menutup jurang antara janji dan realiti seharusnya terbuka lebih luas.
Dengan hubungan negeri–Persekutuan yang lebih tersusun, penyelarasan perancangan pembangunan boleh dilakukan dengan lebih berkesan.
Dalam konteks inilah, pendekatan kepimpinan kerajaan Persekutuan yang menekankan budaya mendengar dan menilai menjadi sangat signifikan.
Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menegaskan prinsip 'kita dengar, kita kaji dan kita laksanakan dengan segera apa yang munasabah' mencerminkan falsafah tadbir urus yang cuba mengimbangi antara ketegasan dasar dan keperluan sebenar rakyat.
Dalam kerangka itu juga, saranan Perdana Menteri agar pemimpin Sabah mencontohi pendekatan Datuk Seri Hajiji Noor wajar diberi perhatian serius.
Dalam ketenangan dan pendekatan sederhana beliau menghadapi pilihan raya, Hajiji membuktikan bahawa politik tidak perlu dibina atas ketegangan berpanjangan.
Sebaliknya, kestabilan boleh dibentuk melalui kebijaksanaan mengimbangi kepentingan negeri dan hubungan dengan Persekutuan secara serentak dan pantas.
Namun, dalam keghairahan membina lembaran baharu pasca PRN, satu risiko besar yang tidak boleh diketepikan ialah kemungkinan wujudnya sabotaj politik daripada pihak-pihak berkepentingan.
Sejarah politik Sabah membuktikan perubahan kerajaan sering membuka ruang kepada gerakan bawah tanah, permainan sentimen dan percaturan untuk menggagalkan pentadbiran semasa demi keuntungan sempit.
Jika budaya ini terus dibiarkan, bukan sahaja kerajaan negeri akan dilemahkan, malah hubungan strategik dengan Persekutuan turut boleh terjejas.
Pelaksanaan projek akan tersekat, keyakinan pelabur terhakis dan akhirnya rakyat sekali lagi menjadi mangsa.
Justeru, semua pihak, sama ada kerajaan mahupun pembangkang wajib memikul tanggungjawab memastikan persaingan politik kekal dalam kerangka yang matang dan beretika.
Agenda Malaysia Madani yang digariskan kerajaan berteras kepada nilai ihsan, keadilan dan keterangkuman.
Sabah ialah medan paling signifikan untuk membuktikan bahawa nilai-nilai ini bukan sekadar slogan tetapi benar-benar diterjemahkan dalam bentuk dasar dan pelaksanaan.
Penegasan Perdana Menteri bahawa kepimpinan adalah amanah, bukan keistimewaan turut menjadi peringatan penting buat semua pemegang kuasa.
Mandat rakyat pasca PRN ini datang bersama tanggungjawab besar untuk mentadbir secara jujur, telus dan berkesan.
Jika prinsip mendengar, menilai dan bertindak dilaksanakan secara konsisten, Sabah berpotensi muncul sebagai contoh kejayaan pembangunan yang inklusif.
Namun, jika kepentingan politik sempit terus mengatasi agenda rakyat, peluang besar ini boleh sekali lagi tergelincir.
Dalam pertarungan antara idealisme dan kepentingan, rakyat Sabah kini menunggu untuk melihat yang mana satu akan benar-benar dimenangkan.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
