Polis siasat 2 pelajar OKU dakwa jadi mangsa amang seksual di asrama

MARANG – Polis sedang menyiasat dakwaan dua pelajar orang kurang upaya (OKU) yang mendakwa menjadi mangsa perlakuan amang seksual di sebuah asrama di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Sofian Redzuan, berkata siasatan itu dijalankan susulan dua laporan polis yang diterima pada Ahad lalu berhubung kejadian yang didakwa berlaku di asrama yang sama.
Menurutnya, kedua-dua kes melibatkan mangsa dan suspek yang berbeza serta berlaku pada tarikh yang berlainan.
“Dalam laporan polis pertama, mangsa berusia 17 tahun yang dikategorikan sebagai OKU ketidakupayaan pembelajaran, mendakwa menjadi mangsa amang seksual oleh seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun.
“Kejadian ini dipercayai berlaku kira-kira jam 2 petang pada 17 November lalu, di mana suspek dikatakan telah menyentuh kemaluan mangsa dan cuba meliwat mangsa.
“Mangsa pada awalnya mengadu kepada warden asrama dan warden tersebut kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Isnin.
Sementara itu, katanya, laporan polis kedua melibatkan mangsa berusia 13 tahun yang merupakan OKU Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) yang mendakwa menjadi mangsa amang seksual oleh pelajar berusia 16 tahun.
Jelas beliau, kejadian itu didakwa berlaku kira-kira jam 6 petang pada 20 November lalu, di mana suspek dilaporkan memaksa mangsa melancap kemaluannya serta turut cuba meliwat mangsa.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihak polis akan memanggil suspek-suspek terlibat untuk diambil keterangan,” ujarnya.
Pada masa sama, Sofian berkata, kejadian tersebut dilihat sebagai kes serius yang melibatkan moral dan perlakuan jenayah.
“Ibu bapa dan penjaga diingatkan agar memberikan lebih perhatian serta sentiasa memantau pergaulan anak masing-masing bagi mengekang kejadian seumpama ini,” katanya.
Ringkasan AI
- Polis Marang menyiasat dakwaan dua pelajar OKU menjadi mangsa perlakuan amang seksual di asrama
- Dua laporan polis berbeza diterima tentang kejadian pada tarikh dan dengan mangsa serta suspek berlainan
- Mangsa pertama berusia 17 tahun didakwa dianiaya oleh pelajar lelaki 16 tahun, termasuk percubaan meliwat
- Mangsa kedua, berusia 13 tahun dengan ADHD, mendakwa dianiaya secara seksual oleh pelajar berusia 16 tahun
- Polis menjalankan siasatan terhadap kes ini dan menyeru ibu bapa untuk memperketatkan pemantauan terhadap pergaulan anak-anak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
