Suami isteri jadi mangsa, lori ubah laluan mengejut


IPOH - Seorang lelaki maut manakala isterinya patah kaki selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah lori yang mengubah laluan secara mengejut di Jalan Ipoh-Lumut.
Kejadian itu dirakam dalam video berdurasi 30 saat yang tular di media sosial memaparkan sebuah lori membuat pusingan ke kiri selepas melepasi simpang sebenar ketika lampu isyarat bertukar hijau.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 3 petang pada Sabtu itu mengorbankan Ahmad Taufik Abu Bakar, 60, manakala Azizah Mat Jamat, 61, yang membonceng motosikal, mengalami patah kaki kiri.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, semasa kejadian, pasangan warga emas berkenaan menunggang motosikal jenis Honda C100 dari arah Batu Gajah ke Ipoh.
Menurutnya, tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa tidak sempat mengelak sebuah lori di hadapan yang bergerak di lorong kanan hendak masuk ke simpang kiri.
"Keadaan itu mengakibatkan motosikal mangsa melanggar bahagian tepi lori.
"Pemandu lori berusia 23 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaani," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati, motosikal terbabit tidak memiliki cukai jalan selain insurans telah tamat tempoh.
Katanya, lori pula mempunyai insurans dan cukai jalan yang masih berkuat kuasa.
"Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki maut manakala isterinya patah kaki selepas motosikal mereka rempuh lori di Jalan Ipoh-Lumut
- Kejadian berlaku kerana lori membuat pusingan ke kiri secara mengejut
- Ahmad Taufik Abu Bakar mangsa maut berumur 60 tahun dan Azizah Mat Jamat patah kaki kiri berumur 61 tahun
- Motosikal mangsa tidak sempat mengelak lori yang hendak masuk simpang kiri
- Motosikal terbabit tidak memiliki cukai jalan dan insurans telah tamat tempoh, manakala lori mempunyai insurans dan cukai jalan yang masih berkuat kuasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

