[VIDEO] Suami isteri, enam lelaki didakwa edar 247.7kg ganja

A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Lapan individu termasuk seorang wanita warga Thailand didakwa di Mahkamah Masjistret di sini atas pertuduhan mengedar 247.7 kilogram (kg) ganja pada 5 November lalu.

Tertuduh, Muhammad Nur Nor Hisham,30; Mohamad Hafiz Mohd Zaini,24; Mohamad Amirul Fazrin Md Kamil,31; Mohamad Faris Irzain Bidin,20; Naveed Hussain,37; Syazriel Aiman Shah Ceronnizam,20; Muhammad Faris ‘Arimi Suzi,26 dan Miss Nursamira Hayeemaha,37, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis ganja seberat 247,700 gram di sebuh rumah di Lorong Camelia 5, Bukit Mertajam pada jam 12.30 tengah malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesemua mereka berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan sehingga 15 kali jika disabitkan kesalahan.

Kesemua tertuduh dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam pada Isnin.
Kesemua tertuduh dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam pada Isnin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli manakala empat daripada tertuduh diwakili peguam, Ramkarpal Singh.

Tiada sebarang jaminan dibenarkan terhadap semua tertuduh dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 Disember depan sementara menunggu laporan kimia.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Sinar Harian melaporan sepasang suami isteri dan enam lelaki ditahan bersama 247.7kg bunga ganja bernilai RM8.67 juta dalam dua serbuan di Bukit Mertajam.

Kesemua suspek ditahan dalam operasi oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pulau Pinang bermula jam 10 malam, 4 November sehingga 6 petang keesokan harinya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, daripada lapan tangkapan itu, seorang lelaki warganegara United Kingdom berketurunan Pakistan manakala seorang lagi suspek wanita warganegara Thailand.

Menurutnya, kesemua mereka berusia lingkungan 20 hingga 37 tahun itu bergerak aktif dalam kegiatan tersebut pada pertengahan Oktober lalu.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan enam lelaki di sebuah inap desa yang disewa di Perda, Bukit Mertajam manakala suami isteri tersebut ditahan di tepi jalan di kawasan sama.

Ringkasan AI

  • Lapan individu termasuk seorang wanita warga Thailand didakwa di Mahkamah Masjistret Bukit Mertajam atas pertuduhan mengedar 247.7kg ganja
  • Tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah di sebuah rumah di Lorong Camelia 5, Bukit Mertajam
  • Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta boleh dikenakan sebatan
  • Tiada jaminan dibenarkan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 Disember menunggu laporan kimia
  • Suspek ditahan dalam operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pulau Pinang, termasuk seorang lelaki warganegara United Kingdom berketurunan Pakistan dan seorang wanita warganegara Thailand

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!