Pengunjung Pantai Klebang teruja terima RM100 daripada individu digelar jutawan

Orang ramai beratur bagi mendapatkan wang RM100 daripada Salim ketika berada di Pantai Klebang.
Orang ramai beratur bagi mendapatkan wang RM100 daripada Salim ketika berada di Pantai Klebang.
A
A
A

MELAKA – Pengunjung di Pantai Klebang teruja apabila seorang individu yang digelar sebagai jutawan mengagihkan wang tunai sebanyak RM100 secara rawak kepada orang ramai dalam kejadian yang tular hujung minggu lalu.

Tindakan itu menimbulkan pelbagai reaksi dan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai identiti lelaki berkenaan yang dilihat pemurah dan tidak lokek berkongsi rezeki dengan pengunjung pantai tersebut.

Menerusi video berdurasi 20 saat yang tular, individu terbabit dikenal pasti sebagai ahli perniagaan, Datuk Salim Abdul Rahman yang turut diiringi Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan.

Dalam video itu, Salim dilihat meminta pengunjung melambai ke arahnya dan sesiapa yang berbuat demikian akan menerima wang tunai sebanyak RM100.

Sementara itu, Mohd Sany turut mengingatkan orang ramai yang telah menerima sumbangan tersebut agar tidak mengambil wang itu lebih daripada sekali bagi memberi peluang kepada pengunjung lain.

Perkongsian video berkenaan mengundang pelbagai komen dalam kalangan pengguna media sosial. Ada yang memuji tindakan Salim berkongsi rezeki, namun tidak kurang juga yang mempersoalkan status pemberian itu serta motif di sebaliknya.

Salim popular di TikTok dengan nama pengguna @ds_sultanpemurah68 dan kini mempunyai lebih 150,000 pengikut.

Sebelum ini, Salim dilihat tidak sehaluan dengan penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, serta aktivis politik, Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin.

Situasi itu susulan beberapa kandungan di media sosial yang menunjukkan mereka saling berbalas sindiran.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Pengunjung Pantai Klebang teruja apabila seorang jutawan mengagihkan wang tunai RM100 secara rawak
  • Tindakan itu menimbulkan pelbagai reaksi dan persoalan di media sosial mengenai identiti lelaki pemurah tersebut
  • Ahli perniagaan, Datuk Salim Abdul Rahman, dikenal pasti sebagai individu tersebut bersama Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan
  • Salim meminta pengunjung melambai ke arahnya untuk menerima wang tunai RM100
  • Salim popular di TikTok dengan nama pengguna @ds_sultanpemurah68 dan memiliki lebih 150,000 pengikut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!