Baling tuala dalam gelanggang: Isyarat henti demi keselamatan petinju

BALINGAN tuala ke dalam gelanggang sering menjadi detik paling tegang dalam pertarungan tinju, namun tindakan ini sebenarnya memainkan peranan penting dalam melindungi keselamatan petinju.
Perkara ini menjadi tumpuan selepas insiden dalam aksi Warzone World Championship (WWC) di N9 Arena, Nilai pada Ahad malam.
Pada pertarungan tumpuan WWC International Influencer Super Lightweight Championship, sudut petinju atau cornerman Yusuf Azmi membuat keputusan kritikal melemparkan tuala ke dalam gelanggang.
Tindakan itu dibuat selepas Yusuf Azmi kelihatan terhuyung-hayang pada pusingan ketiga menentang petinju Indonesia, Yunus Martin.
Dalam peraturan tinju moden, tuala atau kain yang dilontarkan oleh cornerman adalah isyarat rasmi bahawa pertarungan perlu dihentikan serta-merta kerana atlet tersebut tidak lagi berada dalam keadaan selamat untuk meneruskan aksi.
Waktu paling sesuai untuk tuala dibaling ke dalam gelanggang ialah apabila jurulatih atau cornerman melihat atlet mereka hilang fokus, tidak dapat melihat dengan jelas serta tidak memberi maklum balas selepas diberi arahan.
Walaupun istilah baling tuala putih lebih sinonim digunakan, warna tuala sebenarnya tidak menjadi isu; apa-apa tuala atau kain yang dilontarkan tetap sah sebagai tanda menyerah kalah.
Langkah ini berfungsi sebagai talian keselamatan terakhir.
Dalam tinju profesional mahupun amatur, pengadil akan segera menghentikan aksi sebaik tuala dilontarkan dan mengisytiharkan kemenangan melalui technical knockout (TKO) kepada pihak lawan.
Tindakan ini bukan sahaja mengelakkan kecederaan jangka panjang, malah memastikan petinju tidak terus terdedah kepada asakan berterusan apabila sudah lemah.
Insiden di Nilai itu sekali lagi mengingatkan bahawa walaupun tinju adalah sukan yang menuntut keberanian dan strategi, keputusan cornerman untuk menghentikan pertarungan adalah langkah paling bertanggungjawab demi keselamatan atlet.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

