Kampung Asahan derita 12 hari banjir termenung

KUALA SELANGOR - Penduduk Kampung Asahan di sini berdepan banjir termenung selama 12 hari sejak 26 November lalu sebelum air mula beransur surut pada Isnin.
Penduduk, Zainal Yahaya, 65, berkata keadaan itu tidak pulih sepenuhnya apabila laman dan bahagian belakang rumah terus digenangi air.
"Hampir dua minggu kami terpaksa berdepan banjir termenung, air tidak bergerak langsung hingga menjejaskan rutin harian," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Zainal berkata keadaan itu turut menjejaskan kemudahan asas terutama tandas yang masih dinaiki air.
"Bilik air rumah kami belum boleh digunakan lagi sebab air dari luar masih memenuhi lantai tandas," ujarnya.
Zainal yang tinggal bersama isteri serta tiga anak termasuk dua Orang Kurang Upaya (OKU) berkata banjir termenung di kampung itu bukan perkara baharu.
"Kampung Asahan memang rendah, kalau Sungai Selangor naik rumah kami ditenggelami banjir," katanya.
Menurut Zainal, kejadian banjir paling teruk berlaku pada tahun 1971 sehingga menyebabkan keseluruhan kampung tenggelam.
"Kami sudah lali dengan banjir, tapi kalau boleh biarlah ada usaha pihak berwajib untuk kurangkan masalah ini," katanya.
Seorang lagi penduduk, Arbain Ahmad, 76, berkata meskipun air kembali surut, penduduk masih bergelut membersihkan lumpur tebal yang memenuhi ruang rumah dan kawasan sekitar.
Jelasnya, sisa lumpur hitam dan berbau busuk yang dibawa arus banjir menyebabkan kerja pembersihan mengambil masa lebih lama berbanding kebiasaannya.
"Air ini membawa lumpur hitam dan berbau busuk dan inilah realiti yang terpaksa dihadapi hampir setiap tahun," jelasnya.
Menurutnya, kerja pembersihan rumah mengambil masa dua hari dengan bantuan isterinya dan anak-anak.
"Semalam dengan hari ini sahaja sudah dua hari kami cuci rumah hingga bersih, cuma luar sahaja yang masih belum kering," jelasnya.
Menurutnya, tujuh anaknya yang tinggal di luar kawasan pulang membantu membersihkan rumah sebaik air mulai surut.
“Anak-anak semua balik tolong sebab hanya saya dan isteri sahaja tinggal sini, jadi memang perlukan bantuan,” katanya.
Arbain yang menetap di kampung itu lebih 20 tahun turut berkongsi bahawa kejadian banjir turut menyebabkan kehadiran ular sawa.
"Semalam (Ahad) ada ular sawa masuk reban ayam menyebabkan seekor daripadanya mati, namun tetap bersyukur tidak masuk ke dalam rumah," katanya.
Arbain berharap keadaan cuaca kembali panas berikutan lumpur tebal menghalang pergerakan dan aktiviti harian.
Seorang lagi penduduk, Junaidi Saban, 42, berkata keadaan banjir yang saban tahun melanda kampung itu memerlukan penyelesaian segera terutama melibatkan sistem perparitan serta aliran air ke Sungai Selangor.
Katanya, kawasan itu kerap dinaiki air kerana terletak di kedudukan rendah dan menjadi lokasi limpahan air dari kawasan sekitarnya.
Junaidi berkata sistem perparitan sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah air hujan meskipun beberapa kerja penaiktarafan telah dilakukan.
"Penyelesaian terbaik yang perlu dilakukan ialah dengan mendalam dan melebarkan parit sedia ada di kampung ini supaya air terus ke Sungai Selangor,” katanya.
Junaidi berkata penempatan di kampung itu semakin terancam sekiranya isu banjir termenung tidak ditangani segera.
Mengulas kesannya, Junaidi berkata banjir kali ini menyebabkan banyak barangan rumah rosak selain memaksanya mengambil cuti kerja.
"Bagaimanapun, kita bersyukur kerana ada bantuan asas dan kewangan daripada kerajaan, sedikit sebanyak membantu,” katanya.
Junaidi berharap usaha berkaitan kerja-kerja tebatan banjir di kawasan itu dapat diperkasa segera demi keselamatan penduduk.
"Harapnya sistem kawalan banjir diperketatkan dan diperkemaskan lagi, kita bukan hendak menyelesaikan 100 peratus, tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan impak ini pada masa akan datang," tegasnya.
Ringkasan AI
- Kampung Asahan di Kuala Selangor berdepan banjir termenung selama 12 hari sejak 26 November
- Air banjir beransur surut tetapi laman dan bahagian belakang rumah masih digenangi air
- Penduduk menghadapi masalah kemudahan asas seperti tandas yang masih dinaiki air
- Banjir membawa lumpur tebal yang menyebabkan proses pembersihan rumah mengambil masa lama
- Penduduk mendesak penyelesaian segera terhadap masalah banjir, antaranya melibatkan sistem perparitan ke Sungai Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

