Benteng penyelamat mengundang derita

Banjir termenung masih lagi berlaku di Bendang Pak Yong, Tumpat walaupun cuaca panas terik. - Gambar kecil dari kiri Mohd Hirwan, Arifin, Aminah dan Ahmad Nashruddin,
Banjir termenung masih lagi berlaku di Bendang Pak Yong, Tumpat walaupun cuaca panas terik. - Gambar kecil dari kiri Mohd Hirwan, Arifin, Aminah dan Ahmad Nashruddin,
A
A
A

PEMBINAAN Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) yang bermula pada tahun 2021 dijangka mampu melindungi dan menyelamatkan lebih 40,000 penduduk di sepanjang Sungai Golok dari Pengkalan Kubor, Tumpat, Meranti dan Gelang Mas (Pasir Mas) serta Rantau Panjang apabila siap sepenuhnya.

PLSB yang merangkumi tiga fasa itu digambarkan sebagai projek mega yang mampu menamatkan banjir tahunan di sempadan Malaysia–Thailand di Kelantan.

Namun di sebalik harapan itu, terselit ‘derita’ yang perlu ditanggung oleh penduduk di semua lokasi terlibat apabila projek dalam pembinaan itu menyebabkan kawasan rumah mereka dilanda banjir buruk setiap tahun sejak ia dibina.

Situasi itu menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian mencecah ratusan ribu ringgit termasuk ada dalam kalangan penduduk khususnya di Rantau Panjang hilang tempat berteduh selepas rumah runtuh dihanyutkan banjir.

Di Tumpat, penduduk perlu berdepan dengan banjir termenung hampir dua minggu sebelum ia surut sepenuhnya.

Mengikut rekod Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada 2024, Pasir Mas dan Tumpat masing- masing melibatkan kerugian sektor kediaman, berjumlah RM46.2 juta serta RM31.7 juta, sekali gus menjadi banjir terburuk sepanjang empat tahun sejak projek itu mula dibina.

Melihat kepada kesan tersebut, timbul persoalan dalam kalangan penduduk, adakah projek yang mencecah lebih RM2 bilion itu benar-benar menyelesaikan masalah atau sekadar menambah derita baharu kepada penduduk di sepanjang Sungai Golok.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, Hazelen Liana Kamarudin mendengar keluhan serta merungkai benteng yang dianggap penyelamat tetapi pada masa sama mengundang derita.

‘Air naik cecah bumbung’

Artikel Berkaitan:

Penduduk di sepanjang Sungai Golok di sini mencadangkan agar Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang sedang dibina ditambah dengan anak sungai pada kadar segera bagi membebaskan mereka daripada terus menjadi mangsa banjir saban tahun.

Mereka menyifatkan benteng yang sedang dibina di sepanjang Sungai Golok sepanjang 103km sejak 2021 itu bagaikan ‘meragut’ nyawa serta memusnahkan harta benda.

Sebelum ia dibina, penduduk hanya perlu berdepan banjir sedalam 0.3 meter dan tidak perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana binaan rumah mereka tinggi dan air hanya melimpah di sekitar kawasan kediaman sahaja.

Namun kewujudan PLSB yang dianggap menjadi penyelesaian kepada masalah banjir di sini berubah menjadi mimpi ngeri apabila penduduk dikejutkan dengan paras air sedalam 3 hingga 4 meter malah lebih daripada itu di sebahagian kawasan rendah.

Boleh dikatakan kampung yang terletak di sepanjang Sungai Golok seperti Tersang, Lanchang, Gual To’ Deh dan banyak lagi hanya kelihatan bumbung sahaja walaupun rumah tinggi.

Lebih memburukkan keadaan, ada sesetengah kawasan akan mengalami banjir termenung dalam tempoh yang lama sehingga ada mangsa banjir perlu berlindung di PPS sehingga hampir sebulan sementara menunggu air surut.

Mohd Ariffin melihat pembinaan PLSB Sungai Golok Fasa Satu yang menyebabkan banjir buruk di Rantau Panjang.
Mohd Ariffin melihat pembinaan PLSB Sungai Golok Fasa Satu yang menyebabkan banjir buruk di Rantau Panjang.

Mewakili penduduk, Penghulu Mukim Lubok Gong, Mohd Ariffin Ismail berkata, mereka ketika ini keliru dengan status projek PLSB di mana menurut jangkaan awal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dijangka siap pada 2028.

“Sekarang pula kami diberitahu mungkin akan siap pada 2030. Orang kampung tertunggu-tunggu bila hendak siap kerana setiap tahun air naik sampai bumbung.

“Rumah penduduk mula kosong, barang elektrik rosak, tiada apa yang tinggal setiap kali banjir. Banjir bukan biasa-biasa, sampai mencecah ke bumbung. Apa yang kami boleh selamatkan bila keadaan sebegini,” katanya.

Menurutnya, kebimbangan penduduk bertambah apabila melihat projek benteng di Thailand sedang berjalan rancak dengan binaan setinggi 3 meter di sepanjang Sungai Golok.

“Kalau sebelah sana siap dulu, air akan melimpah ke Malaysia. Sebab itu penduduk minta kerajaan fikir penyelesaian lain seperti membina anak sungai atau terusan untuk mengalirkan air dengan lebih cepat dari sini ke laut,” jelasnya.

Mohd Ariffin turut memaklumkan banjir buruk yang sering melanda di sini bukan sekadar memberi penderitaan mental kepada penduduk malah ada yang hilang rumah dihanyutkan arus deras.

Ujarnya, beberapa kejadian hanyut pernah berlaku sebelum ini, termasuk enam rumah ketika banjir tahun 2022 dan dua rumah lagi pada 2024.

Bagi penduduk Kampung Tersang, Mohd Hirwan Che Rajiuon, 44, banjir empat tahun kebelakangan ini amat membimbangkan sehingga mereka terpaksa berulang-alik memindahkan barang setiap kali air naik.

“Penat musim tengkujuh sukar hendak digambarkan. Kami bukan sahaja didera mental tetapi fizikal. Sebelum pembinaan benteng, banjir hanya di sekitar kawasan rumah sedalam 0.3 meter sahaja dan rumah saya tinggi.

“Tetapi sejak pembinaan benteng banjir sedalam 1 hingga 2 meter. Lama-lama takut ada kehilangan nyawa,” katanya.

Sebagai penduduk asal di sini, katanya, hanya satu cara dapat menyelesaikan masalah yang sudah hampir empat tahun menghantui mereka iaitu dengan membuat anak sungai atau terusan terus dari Meranti ke laut.

Ujarnya, dengan cara itu limpahan air dari Danau Tok Uban dan Sungai Golok boleh keluar dan bukannya tersekat sehingga kawasan di sini diibaratkan seperti kolam.

“Limpahan air akan mengalir ke sebelah Malaysia kerana Thailand sudah bina benteng tinggi. Bayangkan kalau semuanya siap, kami di sini akan alami banjir yang lebih buruk. Sekarang ini baru separuh projek benteng Thailand siap, kami sudah tenggelam,” katanya.

Penduduk Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat, Arifin Cik, 68, memberitahu, penduduk cukup menderita apabila air Sungai Golok yang melimpah membuatkan mereka terpaksa berdepan dengan banjir termenung.

“Ia bukan sahaja menyusahkan penduduk malah mendatangkan penyakit kulit apabila keadaan itu berlarutan sehingga dua minggu.

“Sebelum pembinaan benteng, kami sudah berdepan dengan banjir termenung namun ia tidak mengambil masa lama, hanya sekitar dua hari. Di sini (Tumpat) selain anak sungai, kami harap kerajaan membuat pintu air supaya aliran banjir cepat surut,” katanya.

Derita yang tiada kesudahan

Fauzi dan ibunya, Fatimah buntu memikirkan nasib mereka selepas kediaman yang berusia 30 tahun runtuh akibat dihanyutkan banjir pada 26 November.
Fauzi dan ibunya, Fatimah buntu memikirkan nasib mereka selepas kediaman yang berusia 30 tahun runtuh akibat dihanyutkan banjir pada 26 November.

Pada Disember lalu, dua beranak dari Kampung Che Daah, To’Deh buntu memikirkan nasib mereka selepas kediaman yang berusia 30 tahun runtuh akibat dihanyutkan banjir.

Lebih menyayat hati apabila Fauzi Mohamad, 52, dan ibunya, Fatimah Hamat, 74, hanya sempat membawa tiga helai baju bersama kain semasa menyelamatkan diri kerana air naik dengan cepat.

Fatimah berkata, semasa hari kejadian, arus di kawasan rumahnya sangat deras serta kedalaman mencecah hampir tiga meter sekali gus memaksa dia dan anak menyelamatkan diri ke rumah saudara yang terletak di atas bukit.

“Sepanjang 30 tahun saya tinggal di sini, inilah banjir paling teruk berlaku. Sebelum ini, setiap kali musim tengkujuh air hanya di luar rumah sahaja tetapi sejak pembinaan benteng di Sungai Golok, kami terpaksa berpindah.

“Kali pertama rumah ini dilanda banjir pada tahun 2022. Air tenggelamkan rumah paras 2 meter. Kali ini (Disember 2024) hanya kelihatan bumbung dan dihanyutkan,” katanya.

Penoreh getah, Din Abd Rahman, 50, memberitahu, kesan banjir yang berlaku juga menyebabkan tempat berteduh mereka sejak 35 tahun lalu roboh dan ada sebahagiannya dihanyutkan air di Kampung Tersang.

Katanya, ruangan yang runtuh akibat banjir melibatkan dapur serta dua buah bilik tidur.

Beliau memberitahu, sejak tebatan banjir dibina, keadaan bah di kawasan itu sukar diramal.

Ujarnya, setiap kali musim tengkujuh mereka perlu menghadapi empat kali banjir dan paling memburukkan lagi keadaan, airnya sukar surut.

Bagi petani di Bendang Pak Yong, Tumpat, Ahmad Nashruddin Harun, 34, sejak empat tahun ini, dia mengalami kerugian lebih RM150,000 akibat tanaman padi ditenggelami banjir.

Katanya, kerugian seperti itu turut dialami oleh lebih 10 petani lain di sini setiap kali musim tengkujuh.

“Sebelum ini banjir seperti biasa, namun tanaman padi dapat diselamatkan dan kami masih ada untung. Namun sekarang hanya menanggung kerugian.

“Bukan itu sahaja, jalan di kawasan ini juga teruk seperti laluan balak, tar pecah dan menyebabkan kenderaan penduduk cepat rosak,” katanya.

'Apa kami boleh buat dengan RM1,000?'

Bagi penduduk di Pasir Mas, Tumpat dan Rantau Panjang, bantuan dan sumbangan yang diterima tidak dapat menggantikan segala kerugian dialami sebelum ini.

Tempoh empat tahun ini telah mengubah 360 darjah kehidupan mereka, malah lebih menyayat hati apabila rumah yang sebelum ini dipenuhi perabot serta segala kelengkapan kini terbiar kosong.

"Apa kami boleh buat dengan RM1,000? Sedangkan rumah sekarang kosong, almari pun tiada, apatah lagi peti sejuk dan mesin basuh," luah Aminah Ismail, 70, dari Kampung Tersang, Rantau Panjang yang merupakan antara mangsa banjir PLSB Sungai Golok sejak tahun 2022.

Menurutnya, setiap kali musim tengkujuh, tidurnya tidak lena kerana memikirkan nasib yang bakal menimpa.

Ujarnya, rumah yang dibina tinggi bukan lagi menjadi tempat yang selamat kerana pernah tenggelam sehingga hanya kelihatan bumbung pada banjir tahun lepas.

"Kalau kerajaan beri bantuan banjir RM1,000, mana cukup dengan kerosakan yang kami tanggung. Apalah sangat nilai itu dibandingkan dengan apa yang kami telah lalui sepanjang empat tahun ini,” luahnya.

Aminah yang merupakan antara penduduk yang menetap di sini sejak kecil berharap kerajaan meneliti semula kaedah terbaik bagi mengurangkan impak banjir, selain memastikan projek benteng dapat disiapkan tanpa sebarang penangguhan.

Ringkasan AI

  • Pembinaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu dijangka melindungi lebih 40,000 penduduk di sepanjang Sungai Golok dari banjir
  • Projek ini menyebabkan banjir tahunan yang lebih teruk kepada penduduk sejak pembinaannya
  • Kerugian akibat banjir di Pasir Mas dan Tumpat mencapai jutaan ringgit
  • Penduduk mengharapkan penambahan anak sungai untuk mengurangkan kesan banjir
  • Penduduk mengalami kerugian harta benda dan mental, sementara projek dijangka siap pada 2030

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!