Rekod 42.2 juta pelawat pada 2025, Malaysia perkukuh kerjasama bagi TMM2026

KUALA LUMPUR - Malaysia merekodkan 42.2 juta pelawat pada 2025 menyaksikan peningkatan 11.2 peratus berbanding 38 juta orang bagi tahun 2024 sekali gus meletakkan asas kukuh bagi kejayaan pelaksanaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, prestasi positif itu mencerminkan momentum berterusan industri pelancongan negara sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
Sehubungan itu, beliau berkata, bagi memastikan momentum berkenaan dapat dikekalkan, kerajaan akan memperkukuh penyelarasan merentas kementerian dan agensi menjelang pelaksanaan TMM2026.
"Kerajaan memperkukuh penyelarasan merentas kementerian dan agensi bagi memastikan industri pelancongan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid berkata, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan yang melibatkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi utama selaras dengan pendekatan keseluruhan kerajaan.
Beliau berkata, pada mesyuarat itu, kepentingan strategik industri pelancongan terhadap pembangunan negara diberi penekanan khususnya dari segi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, penciptaan peluang pekerjaan dan pengukuhan kedudukan fiskal negara.
"Sehubungan itu, seluruh jentera kerajaan digesa bergerak secara seiring dan bersepadu bagi menarik lebih ramai pelawat antarabangsa, memanjangkan tempoh tinggal serta meningkatkan perbelanjaan pelancong di Malaysia,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, bersempena TMM2026 sebagai agenda nasional utama, kerjasama erat kerajaan negeri, sektor swasta dan penggiat industri dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebagai agensi peneraju adalah penting bagi mempercepat pembangunan industri dan meningkatkan daya saing.
"Kerjasama strategik ini penting bagi memastikan isu berkaitan bidang kuasa, kawal selia dan penguatkuasaan dapat ditangani secara berkesan dan segera,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat itu turut membincangkan beberapa isu dasar utama yang mempunyai implikasi langsung kepada industri pelancongan termasuk Program Malaysia Rumah Keduaku, Program Visa Premium, cadangan pengambilalihan kawal selia kenderaan pelancongan, status hab transit umrah dan pembangunan pelancongan kapal persiaran.
"Secara keseluruhan, mesyuarat ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh kerjasama antara kementerian, jabatan dan agensi bagi memastikan setiap isu berkaitan pelancongan ditangani secara menyeluruh.
"Semua pihak kekal komited dalam menjayakan kempen TMM2026 agar sasaran serta impak ekonomi yang ditetapkan dapat dicapai,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Malaysia merekodkan 42.2 juta pelawat pada 2025 menunjukkan peningkatan 11.2 peratus
- Timbalan Perdana Menteri menekankan industri pelancongan sebagai pemacu utama ekonomi
- Kerajaan memperkukuh penyelarasan merentas kementerian dan agensi menjelang TMM2026
- Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan melibatkan pelbagai kementerian untuk keselarasan
- Kerjasama antara kerajaan negeri, sektor swasta dan penggiat industri ditekankan untuk mempercepat pembangunan pelancongan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
