Tiga kampung Indonesia: Rundingan ambil kira keadaan di lapangan - Mohamad

 Mohamad berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sendayan pada Isnin. Foto Bernama
Mohamad berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sendayan pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Malaysia masih mengadakan rundingan dengan Indonesia dalam mencari penyelesaian berhubung isu tiga kampung di negara itu yang dilaporkan kini termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara kedua-dua negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, proses rundingan mengambil kira keadaan sebenar di lapangan tanpa menjejaskan kehidupan penduduk sedia ada di kawasan itu.

"Apa yang ada di atas peta dan apa yang ada di lapangan itu berbeza.

"Seperti kita sedang berunding dengan Brunei sekarang ini, kalau ikutkan garisnya lurus saja, tapi banyak orang Brunei masuk kawasan kita dan orang Malaysia masuk kawasan Brunei," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sendayan di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan penyesuaian sempadan akan dilakukan bagi memastikan garis sempadan lebih fleksibel dan mengikut realiti penempatan sedia ada.

Ini kerana katanya, sesetengah kawasan yang terlibat telah diterokai serta didiami sekian lama sehingga membentuk perkampungan tetap.

"Tapi kita mengikut undang-undang dan kalau ikutkan garisnya lurus saja.Tapi nanti boleh berlaku rumah terbelah dua, depan rumah di Malaysia, belakang di Indonesia.

"Kita tidak mahu perkara seperti itu berlaku kerana realiti sebenar di bawah itu perlu diambil pertimbangan, tapi belum dimuktamadkan," katanya.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, jawatankuasa teknikal telah diarah membuat kajian, tetapi pengakhirannya nanti pemimpin kedua-dua negara akan ada persetujuan bersama.

Artikel Berkaitan:

"Bersabarlah, supaya akhirnya kedua-dua pihak akan rasa selesa untuk kita capai kata sepakat untuk kita harmonikan sempadan bersama kedua-dua buah negara," katanya.

Ringkasan AI

  • Malaysia masih runding dengan Indonesia soal tiga kampung yang masuk wilayah Malaysia karena perubahan garis sempadan
  • Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menyatakan rundingan mempertimbangkan realiti lapangan tanpa ganggu penduduk
  • Penyesuaian sempadan dicadang, buat garis sempadan lebih fleksibel mengikut realiti penempatan
  • Kawasan terlibat sudah didiami lama, membentuk perkampungan tetap
  • Jawatankuasa teknikal buat kajian, pemimpin kedua negara akan capai persetujuan bersama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!