Tiada bendera BN, wakil komponen bukan luar biasa - Ka Siong

Ka Siong
Ka Siong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan, ketiadaan bendera Barisan Nasional (BN) dan wakil rakan parti komponen di Perhimpunan Agung Tahunan parti itu bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Ka Siong berkata, ia bukan kali pertama keadaan seperti ini berlaku, malah Perlembagaan parti juga tidak mewajibkan kehadiran wakil UMNO dan MIC dalam perhimpunan tersebut.

“Keberadaan pemimpin BN dalam Perhimpunan Agung MCA hanyalah perkara tambahan sekiranya parti merasakan ia perlu.

“Begitu juga dengan bendera. Ketika saya hadir di Perhimpunan Agung UMNO (PAU), tiada bendera BN.

“Yang penting adalah pelaksanaan himpunan itu sendiri, bukan letak bendera,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Agung MCA di Wisma MCA pada Ahad.

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam turut menjelaskan, faktor Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang baru selesai hujung bulan lalu, menyumbang kepada sifat Perhimpunan Agung MCA yang lebih tertumpu kepada urusan dalaman parti.

Ujarnya, perhimpunan berkenaan sepatutnya diadakan pada 1 Disember lalu, namun ditangguhkan bagi memberi laluan kepada PRN Sabah.

“Selepas PRN selesai, kita segera mengadakan Perhimpunan Agung MCA bagi memenuhi kehendak Perlembagaan yang menetapkan perhimpunan agung mesti diadakan sebelum 31 Disember,” jelas beliau.

Mengulas isu pengganti jawatan presiden yang kini disandang sejak 2018, menurut Ka Siong, perhimpunan kali ini tidak membincangkannya kerana fokus parti kini adalah untuk memastikan kelangsungan dan kekuatan MCA, bukan pemilihan jawatan.

Artikel Berkaitan:

“Kami meluluskan 13 usul penting yang merangkumi bidang ekonomi, politik, perusahaan kecil dan sederhana serta pendidikan.

“Isu pengganti presiden atau timbalan akan dibincangkan pada masa yang sesuai. Yang utama sekarang adalah memastikan parti lebih kuat,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Ketiadaan bendera Barisan Nasional dan wakil rakan parti komponen di Perhimpunan Agung MCA tidak luar biasa
  • Kehadiran pemimpin BN dan bendera di Perhimpunan Agung MCA hanya tambahan jika perlu
  • Pelaksanaan himpunan lebih penting daripada letak bendera
  • PRN Sabah menyumbang kepada Perhimpunan Agung MCA lebih tertumpu kepada urusan dalaman
  • Perhimpunan kali ini tidak membincang isu pengganti presiden, fokus kepada kelangsungan dan kekuatan MCA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!