Mara ke separuh akhir, pingat dalam genggaman

SKUAD badminton wanita negara mengesahkan sekurang-kurangnya satu pingat di Sukan SEA Thailand yang kini berlangsung di Bangkok, selepas mara ke separuh akhir acara berpasukan dengan menumpaskan Vietnam 3-1 pada Ahad.
Beraksi di Universiti Thammasat, pasukan kebangsaan tidak bermula dengan baik apabila K Letshanaa yang diletakkan sebagai pemain perseorangan pertama tewas kepada pemain Vietnam, Nguyen Thuy Linh, 21-15, 10-21, 21-23.
Bagaimanapun skuad negara bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi Wong Lin Ching yang menumpaskan Vu Thi Trang, 21-14, 20-22, 21-14.
Momentum kemenangan itu kemudiannya diteruskan pada perlawanan ketiga menerusi gandingan beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah yang menumpaskan Pham Thi Dieu Ly-Pham Thi Khanh 21-12, 21-8 untuk Malaysia mendahului 2-1.
Pemain perseorangan ketiga negara, Siti Zulaikha Azmi memastikan mata kemenangan menjadi milik negara apabila menumpaskan Bic Phuong Bu 21-19, 21-19.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam acara berpasukan wanita adalah pada edisi 2019 di Manila iaitu berkongsi gangsa bersama Singapura.
Pencapaian terbaik pasukan wanita negara di temasya dwitahunan itu adalah pada 2009 apabila bergelar juara. - Bernama
Ringkasan AI
- SKUAD badminton wanita negara mengesahkan sekurang-kurangnya satu pingat di Sukan SEA Thailand selepas mara ke separuh akhir dengan menumpaskan Vietnam 3-1
- K Letshanaa tewas kepada pemain Vietnam, Nguyen Thuy Linh dalam perlawanan pertama
- Wong Lin Ching menumpaskan Vu Thi Trang untuk menyamakan kedudukan
- Pearly Tan-M Thinaah memenangi perlawanan ketiga, memberi kelebihan kepada Malaysia
- Siti Zulaikha Azmi memastikan kemenangan untuk Malaysia dengan menumpaskan Bic Phuong Bu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
