Pemanas badan sempurna Cindy Sui sebelum ke Sukan SEA

Cindy Sui mempamerkan aksi bertenaga apabila muncul juara kategori wanita sprint dalam saingan Aquathlon Kuala Langat 2025.
Cindy Sui mempamerkan aksi bertenaga apabila muncul juara kategori wanita sprint dalam saingan Aquathlon Kuala Langat 2025.
A
A
A

PELARI triatlon negara yang bakal membuat penampilan sulung di Sukan SEA, Cindy Sui mempamerkan aksi bertenaga apabila muncul juara kategori wanita sprint dalam saingan Aquathlon Kuala Langat 2025 yang berlangsung di jambatan ikonik, 'Lover’s Bridge' di Tanjung Sepat pada Ahad.

Atlet berusia 27 tahun itu merekodkan masa 34 minit 33 saat (s) untuk mengungguli acara 750 meter (m) renang dan 5 kilometer (km) larian, mengatasi Chan May Yan (37:37) dan Shannon Liaw (40:49).

Cindy berkata, perlumbaan itu menjadi medan terbaik untuk menguji strategi sebelum turun ke pentas Sukan SEA di Thailand minggu depan.

“Perlumbaan ini beri gambaran bagaimana saya mahu melaksanakan aksi di Sukan SEA nanti. Ini bukan ‘A race’, tetapi peluang penting untuk melihat reaksi badan dan bahagian yang perlu diperbaiki,” katanya.

Bekas perenang Sarawak itu mengakui, peralihan daripada renang ke triatlon mengubah sepenuhnya hala tuju kariernya.

“Saya berenang sejak kecil, tetapi tahap tertinggi yang saya capai hanyalah pada SUKMA (Sukan Malaysia). Saya tak pernah tembus skuad kebangsaan, jadi saya fikir peluang mewakili negara sudah berakhir.

“Namun, triatlon membuka ruang baharu. Saya tak sangka mampu pergi sejauh ini dan akhirnya memakai warna negara. Ia antara keputusan terbaik pernah saya buat,” katanya.

Edisi kali ketiga itu menarik 550 peserta dari 18 negara, termasuk atlet dari Uruguay, Greece dan Kanada.

Dalam pada itu, bagi kategori lelaki pula, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Koperal Khairil Azhar Abdul Wahid mencuri tumpuan apabila menjuarai Olympic Distance (1.5km renang–10km larian) dengan catatan 1:05:23, mengatasi Jeremy Tan (1:06:16) dan Indra Abunawas (1:07:43).

Artikel Berkaitan:

“Saya puas hati dengan kejayaan ini selepas hanya di tempat kedua tahun lalu. Kebetulan Qi Yi tak berlumba kerana fokus latihan Sukan SEA, jadi saya cuba manfaatkan peluang ini.

“Larian saya begitu baik, walaupun renang agak perlahan. Laluan pun tersusun, marshal buat kerja bagus dan semuanya lancar. Terima kasih kepada penganjur dan pasukan saya,” kata Khairil Azhar.

Kejohanan anjuran Majlis Perbandaran Kuala Langat bersama XS Elite Performance dan AMMJB menampilkan lima kategori iaitu Olympic Distance, Sprint, Bawah-15 tahun, Aqua Kids (10–12) dan Aqua Mini (7–9) dengan penyertaan kukuh atlet muda dan pendatang baharu.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Tuan Mohd Hasry Nor Mohd berkata, penganjuran itu menjadi pemangkin kepada pembangunan gaya hidup aktif dan promosi tarikan pesisir Kuala Langat.

Lover’s Bridge sudah lama menjadi mercu tanda daerah ini dan kini ia berkembang sebagai venue sukan yang menarik lebih ramai pengunjung ke Tanjung Sepat,” katanya.

Peserta menamatkan acara renang perairan terbuka sebelum melalui laluan larian pantai yang rata dan pantas, direka untuk menyerlahkan keindahan kawasan pesisir selain menawarkan saingan kompetitif.

Ringkasan AI

  • Cindy Sui juara kategori wanita sprint Aquathlon Kuala Langat 2025
  • Atlet berusia 27 tahun itu merekodkan masa terbaik
  • Perlumbaan itu dijadikan persediaan Cindy untuk Sukan SEA di Thailand
  • Peralihan daripada renang ke triatlon mengubah hala tuju kariernya
  • Kejohanan tersebut menarik 550 peserta dari 18 negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!