Bersatu Terengganu desak henti perbalahan dalaman, patuh keputusan PAT 2025

Bersatu Terengganu desak gencatan politik dalaman dan penjelasan terbuka daripada Timbalan Presiden, Hamzah Zainuddin
Bersatu Terengganu desak gencatan politik dalaman dan penjelasan terbuka daripada Timbalan Presiden, Hamzah Zainuddin
A
A
A

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Terengganu mendesak semua pimpinan tertinggi parti agar menghentikan segera sebarang bentuk perbalahan, sama ada secara terbuka mahupun tersirat di media sosial.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, bahagian itu berkata bahawa Bersatu kini sedang melalui fasa kritikal akibat pertelagahan dalaman yang menjejaskan imej parti serta menghakis keyakinan rakyat terhadap kemampuan Bersatu sebagai peneraju perubahan.

“Kami menuntut agar Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengisytiharkan gencatan politik dalaman serta mengarahkan semua bahagian dan sayap parti menghentikan serangan serta fitnah yang boleh merosakkan parti.

“Beliau juga perlu menafikan dengan jelas dan terbuka sebarang dakwaan yang mengaitkannya dengan mana-mana gerakan subversif, usaha mengutip akuan bersumpah (SD) atau percubaan menggugat kepimpinan Tan Sri Presiden, Muhyiddin Yassin.

“Seterusnya, membersihkan persepsi terhadap hubungan dengan mana-mana ahli yang sedang berdepan tindakan tatatertib serta memberi penjelasan telus mengenai isu-isu yang timbul pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Beliau juga perlu mengambil tanggungjawab kolektif terhadap prestasi parti,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Bersatu Bahagian Kuala Terengganu turut menggesa naib-naib presiden, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan ketua-ketua bahagian di seluruh negara agar mematuhi serta akur dengan keputusan yang telah dibuat dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2025.

“Kami mahu semua ahli menunjukkan kesepakatan yang jelas dalam menyokong kepimpinan parti.

“Hentikan sebarang pengaruh dan gerakan yang boleh membawa perpecahan, jaga tatasusila politik, serta hormati keputusan Lembaga Disiplin parti.

“Tumpuan Bersatu mesti kembali kepada rakyat, bukan kepada drama politik dalaman. Pihak lawan kini sedang mengambil sepenuhnya peluang daripada perpecahan ini untuk melemahkan sokongan terhadap Bersatu,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, tiada parti yang mampu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) jika kepimpinannya terus bercakaran dan saling meragui antara satu sama lain.

“Kami mahu melihat Bersatu kembali kuat, tersusun dan bersatu di bawah satu kepimpinan,” tegas kenyataan tersebut.

Ringkasan AI

  • Bersatu Bahagian Terengganu mendesak hentikan perbalahan dalam parti
  • Bersatu sedang melalui fasa kritikal akibat pertelagahan dalaman
  • Timbalan Presiden diminta mengisytiharkan gencatan politik dalaman
  • Bersatu Bahagian Kuala Terengganu menggesa ahli party akur dengan keputusan PAT 2025
  • Tidak ada parti yang mampu menang PRU jika kepimpinannya terus bercakaran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!