Wanita maut dirempuh ketika keluar simpang

Keadaan motosikal dan kereta yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Bentong-Raub pada Jumaat. - Foto: Polis Bentong
Keadaan motosikal dan kereta yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Bentong-Raub pada Jumaat. - Foto: Polis Bentong
A
A
A

BENTONG – Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta ketika keluar dari simpang di Kilometer 3, Jalan Bentong–Raub, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.50 tengah malam itu, mangsa, Tengku Aida Nazura Tengku Ahmat, 26, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pemandu kereta jenis Honda City yang berusia 33 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis SYM dan dipercayai dalam perjalanan dari Kampung Kuala Repas menuju ke Bentong.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, semasa keluar dari simpang, motosikal mangsa telah dilanggar oleh kereta yang datang dari arah Bentong.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Zaiham berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu kereta telah ditahan reman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pihak polis turut menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian memandangkan kes masih dalam siasatan.

Ringkasan AI

  • Seorang wanita maut selepas motosikalnya dirempuh kereta di Bentong
  • Mangsa berumur 26 tahun meninggal dunia di tempat kejadian
  • Pemandu kereta hanya mengalami kecederaan ringan
  • Mangsa dalam perjalanan dari Kampung Kuala Repas menuju ke Bentong
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!