Surah Al-Saff asas bina ekonomi beretika, berdaya tahan

Imran
Imran
A
A
A

SHAH ALAM – Surah Al-Saff dilihat mampu menjadi panduan penting dalam membangunkan model ekonomi yang beretika dan berdaya tahan kerana ia menekankan keselarasan antara nilai dan tindakan dalam kehidupan manusia.

Ketua Pegawai Eksekutif Oxford Intellect, Dr Imran Alvi berkata, kemajuan sebenar hanya dapat dicapai apabila sesebuah masyarakat dibina atas asas integriti dan akhlak yang kukuh.

Menurutnya, Surah Al-Saff mengingatkan bahawa kemajuan bermula apabila tindakan kita selari dengan nilai, serta pembinaan individu yang berintegriti dan berdiri seperti satu bangunan yang tersusun kukuh.

“Ekonomi yang kukuh tidak boleh dibina semata-mata melalui dasar dari peringkat atasan, sebaliknya ia lahir daripada masyarakat yang bermoral dan digerakkan oleh sesuatu yang lebih tinggi daripada kepentingan diri.

“Selain itu, ekonomi yang beretika dan berdaya tahan terhasil apabila manusia sendiri berprinsip dan bermotivasi. Asas kerohanian inilah yang akhirnya melahirkan pasaran yang stabil serta mampu mengawal diri,” jelasnya yang juga penceramah World #QuranConvention (WQC).

Mengulas jurang antara sistem ekonomi moden dan prinsip ekonomi berlandaskan al-Quran, Imran berkata, sistem sedia ada banyak dibina atas andaian bahawa manusia bersifat mementingkan diri.

Ujarnya, sistem moden merangka dasar dengan menganggap manusia sebagai pengejar kepentingan peribadi, sehingga membawa kepada hasil yang tidak berperikemanusiaan.

Sebaliknya, kata beliau, al-Quran berasaskan pandangan bahawa manusia memiliki fitrah moral dan sifat prihatin yang boleh dipupuk.

“Jurang dalam memahami sifat sebenar manusia inilah yang menjadi punca utama kegagalan sistem ekonomi hari ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh aspek tadbir urus ekonomi global, beliau menjelaskan bahawa Surah Al-Saff menawarkan rangka kerja dua hala yang seimbang.

“Ia menekankan pembinaan individu berasaskan akhlak dari bawah, di samping pembentukan kepimpinan yang jelas matlamat dan tujuannya dari peringkat atas,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan tersebut penting bagi memastikan struktur tadbir urus benar-benar berkhidmat kepada manusia, bukan sekadar mengejar sasaran angka ekonomi.

Sementara itu, Imran berharap agar para pemimpin industri dan pembuat dasar yang menghadiri World #QuranConvention 2025 menyedari bahawa ekonomi seharusnya berfungsi untuk kesejahteraan manusia.

Tambah beliau, ekonomi yang berperikemanusiaan mesti bermula dengan individu yang bermoral serta dasar yang berasaskan kebenaran, bukannya berdasarkan andaian pincang yang mendominasi pemikiran semasa.

Ringkasan AI

  • Surah Al-Saff boleh menjadi panduan dalam membangunkan model ekonomi yang beretika dan berdaya tahan
  • Kemajuan sebenar dicapai apabila masyarakat dibina atas asas integriti dan akhlak
  • Ekonomi kukuh berasal dari masyarakat yang bermoral dan digerakkan oleh nilai lebih tinggi daripada kepentingan diri
  • Sistem ekonomi moden dibina atas andaian manusia mementingkan diri, berbeza dengan prinsip ekonomi al-Quran yang menekankan fitrah moral dan sifat prihatin
  • Surah Al-Saff menawarkan kerangka kerja dua hala untuk tadbir urus ekonomi yang seimbang, merangkumi asas akhlak individu dan kepimpinan yang jelas matlamat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!