Sangkar tilapia misteri disyaki punca tasik busuk, ribuan ikan mati - Jamaliah

PUCHONG – Penemuan sebuah sangkar ikan tilapia yang tidak diketahui pemiliknya di Kolam D’ Island, Putra Perdana, disyaki menjadi punca kepada ribuan bangkai ikan yang memenuhi permukaan tasik tersebut.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, siasatan awal oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati terdapat sejumlah besar bangkai ikan terapung di permukaan kolam berkenaan.
“Kami mengesyaki bangkai ikan yang terapung ini berasal daripada sangkar tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau turut memaklumkan bahawa pensampelan awal kualiti air menunjukkan bacaan oksigen terlarut (DO) sebanyak 15 mg/L, iaitu satu bacaan yang baik dan menunjukkan kematian ikan bukan disebabkan oleh kualiti air.
Bagaimanapun, katanya, sampel air tersebut telah dihantar ke Makmal LUAS untuk analisis terperinci. LUAS juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Selangor bagi membantu siasatan lanjut.
“Kerja pembersihan bangkai ikan telah dimulakan pada Rabu menggunakan jentera berat berikutan kuantitinya yang banyak.
“Setakat ini, kerja-kerja pembersihan telah mencapai 40 peratus dan dijangka selesai menjelang hujung minggu ini,” jelas beliau.
Jamaliah turut menggesa orang ramai supaya melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau yang berpotensi mencemarkan sumber air kepada pihak berkuasa agar tindakan segera dapat diambil.
“Aduan pencemaran boleh disalurkan kepada pihak berkuasa seperti LUAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Pejabat Daerah dan Tanah untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

