Pelaku rasuah perlu dibankrapkan - Azam Baki

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

PUTRAJAYA - “Pelaku yang terlibat dalam rasuah perlu dibankrapkan agar tidak lagi menikmati harta yang dicuri.”

Itu amaran tegas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ketika menegaskan komitmen agensi itu memulangkan setiap sen aset negara yang diseleweng kembali kepada rakyat.

Azam berkata, pendekatan pemulihan aset akan terus diperhebat sepanjang tahun hadapan, selaras strategi SPRM mengurangkan ketirisan pada tahap maksimum dan memastikan pelaku rasuah benar-benar kehilangan hasil rompakan mereka.

Menurutnya, fokus SPRM pada 2026 turut memberi keutamaan kepada siasatan lebih agresif terhadap kes berprofil tinggi dan berskala besar bagi memastikan individu yang mempunyai kedudukan, kuasa atau kekayaan tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Masyarakat kini semakin peka dan bijak menilai, sekali gus menuntut pendekatan baharu yang lebih berkesan dalam operasi, pencegahan serta pendidikan antirasuah di semua peringkat.

“Pendekatan lama yang lapuk perlu ditransformasikan, walaupun ada pendekatan baharu berusia setahun atau dua, ia mungkin tidak lagi relevan pada tahun mendatang,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat.

Beliau berkata, keupayaan dan kemahiran pegawai SPRM akan terus dipertingkat melalui penggunaan teknik siasatan moden.

“Ia turut diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama agensi dalam dan luar negara bagi mengesan aset yang hilang atau dicuri.

“Hari Antirasuah Antarabangsa menjadi peringatan bahawa perjuangan menentang rasuah bukan sekadar acara simbolik tetapi kempen global yang menuntut tekad jitu daripada semua pihak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Majlis berkenaan turut disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurut Azam, membuktikan komitmen tinggi kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus bersih selaras tiga tahun penubuhan Kerajaan Madani.

Azam berkata, di bawah strategi antirasuah nasional, pelbagai pembaharuan undang-undang sedang digerakkan termasuk undang-undang perolehan, Rang Undang-Undang Freedom of Information serta pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Beliau turut menyentuh pelaksanaan Default Protection Agreement serta pemberian insentif potongan cukai kepada syarikat yang melaksanakan program pencegahan rasuah sebagai antara pembaharuan penting yang akan diteruskan pada 2026.

“Semua ini membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan integriti dan memerangi rasuah secara lebih efektif,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pelaku rasuah perlu dibankrapkan agar tidak menikmati harta yang dicuri
  • SPRM akan memperhebatkan pendekatan pemulihan aset dan memastikan pelaku rasuah benar-benar kehilangan hasil rompakan mereka
  • Fokus kepada siasatan lebih agresif terhadap kes berprofil tinggi dan berskala besar pada 2026
  • Kemampuan dan kemahiran pegawai SPRM akan dipertingkat melalui penggunaan teknik siasatan moden dan kerjasama strategik
  • Pelbagai pembaharuan undang-undang sedang digerakkan termasuk undang-undang perolehan dan pemberian insentif potongan cukai kepada syarikat yang melaksanakan program pencegahan rasuah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!