LINDUNG 24 jam: Manfaat untuk 10 juta pekerja

DEWAN Rakyat telah meluluskan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 2025 yang membuka laluan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk memperkenalkan skim LINDUNG 24 jam kepada lebih 10 juta pekerja sektor formal di seluruh negara.
Skim ini menandakan perubahan besar dalam sistem perlindungan sosial apabila pekerja kini dilindungi sepanjang masa tanpa mengira lokasi atau waktu berlakunya kemalangan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, pelaksanaan LINDUNG 24 jam juga dapat mengurangkan beban kewangan pekerja dan keluarga dalam urusan rawatan, pengurusan hilang upaya dan pemulihan serta menetapkan standard baharu perlindungan sosial negara yang lebih setara dengan amalan negara maju.
"Kerajaan memperkenalkan LINDUNG 24 jam yang melindungi pekerja walaupun kemalangan itu berlaku di luar waktu kerja dan tidak berkait langsung dengan penggajian mereka,” katanya.
Langkah ini secara langsung menamatkan isu ribuan tuntutan yang sebelum ini ditolak kerana dikategorikan sebagai ‘bukan bencana kerja’, termasuk lebih 12,000 kes sejak 2023 hingga Oktober 2025.
Dengan caruman serendah RM12.35 sebulan, pekerja layak menerima pelbagai manfaat termasuk faedah perubatan, elaun hilang upaya sementara dan kekal, faedah orang tanggungan, elaun layanan sentiasa serta kemudahan pemulihan dan pinjaman pendidikan.
Inisiatif ini dianggap sebagai game changer selaras dengan realiti kerja hibrid dan anjal yang semakin mengaburkan sempadan antara urusan kerja dan kehidupan peribadi.
“Sebab itu kerajaan melalui PERKESO perkenalkan skim LINDUNG 24 jam supaya pekerja bukan saja dilindungi masa kerja, tapi juga di luar waktu kerja. Cuti sekolah bawa anak jalan-jalan, makan dengan keluarga lepas kerja, pergi pasar malam, balik kampung... kalau masa ni berlaku kemalangan, PERKESO tetap lindung anda dan keluarga.” - Steven Sim
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
