Lesen mineral Sabah, Shamsul Iskandar didakwa lagi

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan rasuah melibatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Sementara itu, ahli perniagaan, Albert Tei turut dituduh memberi rasuah sebanyak RM64,924 untuk bayaran penyewaan rumah, antara 2023 dan tahun lalu.
Shamsul Iskandar, 51, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
"Mengaku tidak bersalah, mohon dibicarakan," katanya yang memakai baju batik warna hijau.
Mengikut pertuduhan, dia sebagai seorang ejen kerajaan Malaysia iaitu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, telah memperoleh suapan RM64,924 yang dimasukkan dalam akaun CIMB Bank milik seorang wanita, Rahmalidya Buyong.
Ia bagi bayaran penyewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur daripada seorang ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing, 37.
Perbuatan itu dikatakan bagi membantu syarikat-syarikat Albert mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Country Heights, Kajang antara 28 November 2023 dan 23 September 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan sementara Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat itu diwakili peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad.
Pada Khamis, ahli politik itu didakwa atas satu kes bersetuju menerima rasuah RM100,000 dan tiga kes memperoleh wang termasuk kelengkapan perabot barangan elektrik berjumlah RM76,829.03.
Sebelum ini, timbul dakwaan seorang ahli perniagaan telah memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri untuk mendapatkan semula wang yang diberikan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.
Berikutan itu, Shamsul Iskandar dan Albert direman enam hari sehingga 4 Disember, sementara seorang lagi individu dikenali Sofia Rini Buyong selama empat hari bagi membantu siasatan.
Untuk rekod Shamsul Iskandar merupakan Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat, pernah menjawat jawatan eksekutif iaitu Timbalan Menteri Industri Utama dari tahun 2018 hingga 2020.
MENYUSUL
Ringkasan AI
- Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar didakwa sekali lagi atas pertuduhan rasuah RM64,924 berkaitan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah
- Mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin
- Dituduh sebagai ejen kerajaan Malaysia memperoleh suapan yang dimasukkan dalam akaun seorang wanita bagi membantu syarikat mendapatkan kelulusan lesen
- Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dengan hukuman penjara maksimum dan denda
- Shamsul Iskandar juga berdepan dakwaan lain berkaitan penerimaan rasuah RM100,000 dan wang termasuk kelengkapan perabot bernilai RM76,829.03
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

