Jangan biar cinta berubah jadi 'pisau'

Masyarakat juga harus berhenti menganggap keganasan rumah tangga sebagai urusan peribadi suami isteri.
Masyarakat juga harus berhenti menganggap keganasan rumah tangga sebagai urusan peribadi suami isteri.
A
A
A

PILU! Laporan mengenai seorang suami menikam isteri dipercayai akibat cemburu sekali lagi menggemparkan negara.Insiden tragis itu bukan sekadar angka dalam rekod jenayah tetapi penderitaan senyap, membongkar krisis keganasan rumah tangga yang terus berulang atas nama cinta.

Kejadian itu seharusnya membuka mata kita. Ia menunjukkan betapa rapuhnya institusi perkahwinan apabila hubungan yang sepatutnya menjadi pelindung bertukar menjadi punca penderitaan.

Tragedi sebegini bukan lagi kes terpencil tetapi realiti yang muncul saban minggu di dada akhbar.

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia sempena Hari Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita Antarabangsa pada 25 November lalu cukup membimbangkan.

Daripada 11,042 kes keganasan terhadap wanita berusia 16 hingga 64 tahun pada 2024, 47.6 peratus ialah kes keganasan rumah tangga. Ia menggambarkan betapa ramai isteri, ibu dan wanita terperangkap dalam hubungan yang mengancam nyawa.

Cukuplah! Sudah tiba masanya kita hentikan kekerasan atas nama cinta. Rumah tangga harus menjadi syurga buat keluarga, bukan medan curiga, ketakutan dan akhirnya tragedi yang meragut nyawa.

Penganiayaan berpunca daripada cemburu melampau jarang sekali datang daripada isu kecurangan semata-mata.

Ia gejala rasa memiliki yang berlebihan sehingga pasangan dianggap seperti harta benda, bukan amanah untuk disayangi.

Malangnya, alasan seperti mengasari kerana sayang, mendidik atau cemburu tanda peduli masih dijadikan justifikasi untuk menormalisasi penderaan emosi, fizikal serta mental.

Artikel Berkaitan:

Masyarakat juga harus berhenti menganggap keganasan rumah tangga sebagai urusan peribadi suami isteri.

Ia bukan konflik domestik semata-mata tetapi penyakit sosial yang lahir daripada ego yang rapuh dan kegagalan mengurus emosi.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan tanggungjawab suami yang qawwam ialah melindungi, memimpin dan mewujudkan suasana aman dalam keluarga.

Seni menegur pasangan turut digariskan iaitu dengan nasihat secara berhikmah, tutur kata yang baik, penuh kasih sayang dan bertujuan memperbaiki, bukan menjatuhkan.

Walaupun dibenarkan memukul dengan pukulan ringan selepas kaedah menasihati dan berpisah tempat tidur gagal, ia tetap bersyarat iaitu tidak mencederakan, tidak menyakitkan, tidak menghina dan tidak sampai meragut nyawa.

Wahai wanita, jangan diam! Jangan mengunci mulut sehingga rumah tangga yang dibina atas nama cinta bertukar menjadi gelanggang pertumpahan darah.

Jika ada tanda-tanda bahaya, angkat kaki, selamatkan nyawa dan masa depan. Usah biarkan diri terus ditindas.

Seperti dinyatakan Pegawai Psikologi Kanan KKM, Mejar Bersekutu (PA) Kasturi Bai dalam Sinar Live Trauma Jadi Mangsa Keganasan Rumah Tangga, ramai wanita memilih berdiam diri kerana memikirkan anak-anak, tekanan keluarga, pergantungan emosi atau stigma masyarakat terhadap status janda.

Lebih memeritkan ialah persepsi masyarakat terhadap status janda. Bimbang dilabel sebagai punca keruntuhan rumah tangga, kebanyakan mangsa memilih untuk bertahan sekalipun hidup dalam suasana toksik kerana takut dianggap gagal dan khuatir kehilangan hak penjagaan anak.

Keganasan tidak semestinya luka yang kelihatan, ia boleh berupa penderaan emosi, paksaan seksual, pengasingan sosial, kawalan kewangan, ancaman, hinaan atau memperlekeh, manipulasi dan gaslighting.

Beranilah bertindak sebelum ia meragut mental dan nyawa. Gunakan saluran bantuan yang tersedia. Jangan biarkan cinta berubah menjadi pisau yang mencederakan hati dan hidup anda!

*Azma Mohd Lazim ialah wartawan SinarPlus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!