Enam tukang cuci menang saman majikan culas bayar gaji minimum

Mahani (kiri) dan Sharifah bersama Nik Saiful selepas mendengar keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Khamis.
Mahani (kiri) dan Sharifah bersama Nik Saiful selepas mendengar keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU — Enam tukang cuci termasuk satu orang kurang upaya (OKU) lembam menang saman terhadap majikan yang culas membayar gaji minimum dan diarah menjelaskan baki RM28,500 kepada kesemua bekas pekerjanya itu di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.

Keputusan dibuat Hakim, Shamsul Bahrin Abdul Manaf selepas menolak rayuan syarikat pembersihan kerana gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 RM1,500 ketika kesemua pekerja berkenaan ditugaskan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) antara Mei 2022 hingga Julai 2023.

Shamsul Bahrin dalam penghakimannya menolak hujah perayu bahawa SUK sepatutnya menanggung bayaran gaji kerana syarikat itu hanya bertindak sebagai ejen.

Beliau menegaskan bahawa pihak yang melantik dan menggajikan pekerja adalah syarikat perayu sendiri, maka tanggungjawab mematuhi undang-undang buruh terletak sepenuhnya kepada mereka.

Mahkamah turut menyatakan bahawa surat persetujuan yang ditandatangani pekerja kononnya setuju tidak menuntut gaji minimum sebelum ini adalah tidak sah kerana bertentangan dengan peruntukan undang-undang.

“Perintah Gaji Minimum yang dibuat oleh kerajaan sewajarnya memberi perlindungan maksimum terhadap kebajikan pekerja dan mengatasi surat persetujuan tersebut,” katanya.

Kesemua bekas pekerja yang juga responden kes itu ialah Zuhaida Daud; Mohamad Safuan Zakaria (OKU lembam); Sharifah Mohammad; Mahani Daud; Mohd Hafizi Mohd Arshad dan Muhammad Nasharudin Samsudin.

Sebelum itu, semua bekas pekerja tersebut yang pada asalnya seramai 15 individu membuat tuntutan Kes Buruh di Pejabat Tenaga Kerja Kota Bharu pada 15 Mei 2024.

Bagaimanapun, hanya enam bekas pekerja yang tampil memberi keterangan dan seterusnya menang tuntutan sebanyak RM28,500.

Artikel Berkaitan:

Perayu yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Pejabat Tenaga Kerja berkenaan kemudian merayu kepada Mahkamah Tinggi yang membawa kepada keputusan terbaharu ini.

Responden-responden diwakili peguam, Nik Saiful Adli Burhan manakala perayu pula diwakili peguam, Muhammad Habil Zainal Abidin.

Ringkasan AI

  • Enam tukang cuci menang saman terhadap majikan yang gagal membayar gaji minimum
  • Majikan diarah menjelaskan baki RM28,500 kepada bekas pekerjanya
  • Hakim menolak rayuan syarikat pembersihan yang tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum RM1,500
  • Surat persetujuan untuk tidak menuntut gaji minimum ditolak kerana bertentangan dengan undang-undang
  • Keputusan Mahkamah Tinggi di Kota Bharu memberi perlindungan maksimum terhadap kebajikan pekerja

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!