Segerakan projek rumah pam Klebang

MELAKA - Projek pembinaan rumah pam di pintu kawalan air pasang surut Klebang yang dianggarkan bernilai RM1 juta perlu disegerakan bagi menangani risiko banjir kilat di 15 kawasan lembangan Sungai Melaka.
Antara kawasan yang berpotensi mengalami kenaikan paras air termasuk di Taman Angkasa Nuri, Taman Merdeka Jaya, Tanah Merah, Malim Jaya, Peringgit Jaya, Kampung Morten, Krubong dan Bachang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, pemasangan sistem pam air berkapasiti tinggi sangat penting bagi mempercepatkan aliran air keluar terutama ketika hujan lebat dengan air pasang berlaku serentak.
“Pam air ini dapat menyedut lebih banyak air dan mempercepatkan aliran keluar. Ia sangat membantu mengelakkan banjir kilat di kawasan muara sungai yang terlibat.
“Ketika ini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang menjalankan kajian teknikal bagi menentukan reka bentuk serta mekanisme pam yang paling sesuai.
“Saya minta agar kajian tersebut dipercepatkan supaya cadangan akhir dapat dikemukakan segera dan projek dapat dimulakan tahun depan,” katanya ketika meninjau pintu kawalan air pasang surut Klebang pada Khamis.

Sebelum ini, dua daripada enam pintu empangan di lokasi berkenaan rosak hampir lima bulan sebelum siap dibaiki dengan kos RM150,000.
Kerja-kerja pembaikan pada pintu tiga dan empat yang bermula pada 15 November lalu kini memasuki fasa ujian selama dua minggu dan kedua-duanya dilaporkan berfungsi dengan baik.
Dalam pada itu mengulas punca banjir kilat pada 28 November lalu, Ban Hong menjelaskan, kejadian itu disebabkan paras air yang sangat tinggi dari kawasan hulu melibatkan Sungai Tampin, Sungai Alor Gajah dan lembangan Sungai Melaka sebelum turun ke muara sungai Klebang.
“Walaupun semua pintu air termasuk di Klebang telah dibuka sepenuhnya, kapasiti aliran dari hulu terlalu besar sehingga menyebabkan beberapa kawasan di muara terjejas.
“Justeru, dengan mempercepatkan cadangan pembinaan rumah pam, menaik taraf pintu kawalan pasang surut serta melakukan pemeriksaan berkala ke atas semua enam pintu air, risiko banjir kilat ini dapat ditangani,” katanya.
Ringkasan AI
- Projek pembinaan rumah pam di pintu kawalan air pasang surut Klebang bernilai RM1 juta perlu disegerakan untuk menghadapi risiko banjir kilat di 15 kawasan lembangan Sungai Melaka
- Kawasan yang berpotensi terjejas termasuk di Taman Angkasa Nuri, Taman Merdeka Jaya dan beberapa lagi
- Pemasangan sistem pam air berkapasiti tinggi penting untuk mempercepatkan aliran air keluar, terutama ketika hujan lebat
- Jabatan Pengairan dan Saliran sedang menjalankan kajian teknikal untuk menentukan reka bentuk serta mekanisme pam yang sesuai
- Banjir kilat pada 28 November disebabkan oleh paras air yang sangat tinggi dari kawasan hulu seperti Sungai Tampin dan Sungai Alor Gajah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

