Perak masih boleh eksport REE ke China

IPOH - Perak masih dibenarkan mengeksport unsur nadir bumi (REE) ke China meskipun kerajaan Persekutuan menetapkan larangan sementara eksport bahan mentah itu sehingga 2027.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kebenaran khas itu diberi kerana negeri ini masih berada dalam fasa projek perintis melibatkan aktiviti perlombongan serta pembangunan industri REE.
Menurutnya, tanpa kelulusan eksport sementara hasil REE yang telah diekstrak berisiko menjadi pembaziran kerana belum dapat diproses sepenuhnya di dalam negara.
"Memang polisi kerajaan Persekutuan tidak membenarkan eksport bahan mentah REE kecuali Perak. Kita masih dalam fasa pilot project dan diberikan kebenaran khas untuk terus mengeksport.
"Kebenaran ini diberi dari masa ke semasa sehingga NRES membuat keputusan menghentikannya. Tetapi buat masa ini kita masih dibenarkan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meluncurkan Dashboard Hartanah Perak bersempena Program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2025 – GIS Nadi Transformasi Sosioekonomi Berdaya Tahan di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini pada Rabu.
Saarani berkata, biarpun REE tersebut masih dieksport usaha kerajaan negeri kini tertumpu kepada pembinaan industri REE secara menyeluruh merangkumi rantaian huluan, pemprosesan dan penghasilan produk akhir.
Beliau turut menjelaskan bahawa Perak hanya mengalukan kehadiran negara lain yang ingin bekerjasama dalam pembangunan teknologi REE bukan pihak yang sekadar mahu mengambil hasil bumi negeri.
“Kalau mereka datang berkongsi teknologi, kita alu-alukan. Tapi kalau datang hanya nak ambil hasil bumi, tak bolehlah.
"Mereka mesti runding, bangunkan bersama dan ada perkongsian teknologi," tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, kerajaan negeri melancarkan Dashboard Hartanah@Perak iaitu platform digital berasaskan geospatial untuk memaparkan data pembangunan perumahan secara lebih terperinci, telus dan mudah dicapai.
Katanya, dashboard yang dibangunkan melalui kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) itu memeta status projek perumahan termasuk perancangan, pembinaan, kategori, lokasi serta projek sakit dan terbengkalai.
Melalui platform ini, kerajaan negeri dapat memantau pencapaian sasaran perumahan di bawah agenda Perak Sejahtera 2030 dengan lebih berkesan, selain menjadi rujukan kepada PBT, agensi teknikal dan orang awam.
Katanya, Program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2025 turut menghimpunkan pelbagai agensi termasuk PerakGIS, PDRM, Kementerian Kesihatan, Majlis Perbandaran Manjung dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi memperkukuh ekosistem data spatial negeri.
"Penggunaan teknologi geospatial penting untuk memahami keperluan penduduk berdasarkan demografi berbeza antara kawasan seperti Hulu Perak, Hilir Perak dan bandar raya Ipoh.
"Pemaju hartanah pun perlu faham. Mereka tak boleh bina rumah di kawasan yang tiada permintaan. Jadi melalui data GIS kita dapat lihat kepadatan penduduk dan kesesuaian tanah untuk pembangunan perumahan,” katanya.
Menurut beliau, integrasi data merentas jabatan akan memastikan maklumat sentiasa dikemas kini, sekali gus membantu kerajaan membuat keputusan lebih tepat dalam mesyuarat Exco serta merancang pembangunan negeri secara berkesan.
Ringkasan AI
- Perak dibenarkan mengeksport unsur nadir bumi ke China walaupun ada larangan sementara oleh kerajaan Persekutuan
- Negeri ini dalam fasa projek perintis aktiviti perlombongan dan pembangunan industri unsur nadir bumi
- Kelulusan eksport sementara diberikan untuk mengelak pembaziran hasil REE yang belum dapat diproses sepenuhnya
- Kerajaan negeri fokus membangun industri REE secara menyeluruh dari rantaian huluan hingga penghasilan produk akhir
- Pelancaran Dashboard Hartanah@Perak bagi memaparkan data pembangunan perumahan secara terperinci dan memudahkan akses maklumat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

