Perak arah henti aktiviti lombong REE jika jejas rakyat

Saarani ketika menggulung perbahasan Belanjawan Negeri Perak 2026 sempena Sidang DUN Perak pada Selasa.
Saarani ketika menggulung perbahasan Belanjawan Negeri Perak 2026 sempena Sidang DUN Perak pada Selasa.
A
A
A

IPOH – Kerajaan Perak menegaskan tidak akan teragak-agak menghentikan sebarang aktiviti perlombongan termasuk unsur nadir bumi (REE) sekiranya terbukti mengancam keselamatan dan kesihatan rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pendirian itu adalah komitmen tegas kerajaan negeri berikutan kebimbangan yang dibangkitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung isu pencemaran sungai, fenomena air biru serta dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh syarikat perlombongan.

Menurutnya, isu berhubung fenomena air Sungai Perak yang bertukar biru, kebimbangan mengenai efluen tidak dirawat serta laporan bacaan radiasi melebihi paras ditetapkan adalah antara perkara yang menimbulkan keresahan awam.

"Dalam hal ini, saya sekali lagi mengulangi pendirian tegas kerajaan negeri bahawa keselamatan rakyat tidak akan sesekali dikompromi. Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak menghentikan aktiviti perlombongan di kawasan berkenaan jika terbukti ia mengancam kesihatan awam.

"Cuma saya minta kita bersabar sedikit. Kajian keseluruhan masih belum ada hasilnya sehingga satu waktu kita akan umumkan hasil kajian yang dibuat oleh jabatan-jabatan teknikal yang berautoriti," katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Perak 2026 sempena Sidang DUN Perak pada Selasa.

Dalam pada itu, Saarani menjelaskan hasil maklumat awal menunjukkan punca sebenar fenomena air biru masih belum dapat dimuktamadkan dan tiada bukti kukuh mengaitkannya secara langsung dengan aktiviti perlombongan REE.

Foto tular di media sosial keadaan air di Sungai Perak pernah bertukar kebiruan.
Foto tular di media sosial keadaan air di Sungai Perak pernah bertukar kebiruan.

Beliau turut mendedahkan fenomena serupa pernah dilaporkan pada tahun 2018 di kawasan hampir sama sebelum industri perlombongan REE beroperasi di Perak, dipercayai berlaku ketika taburan hujan luar biasa.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga mengesahkan kawasan Hulu Perak sememangnya kaya dengan mineral seperti bijih timah, tembaga, mangan, arsenik dan pyrit, yang boleh terbawa ke sungai ketika hujan, sekali gus mempengaruhi warna air.

Katanya, kehadiran mineral yang tinggi di dalam sungai menyebabkan larutan mineral seperti ferum sulfat dan tembaga sulfat boleh menampakkan air berwarna biru.

Saarani turut menegaskan laporan mengenai bacaan radiasi melebihi 13 becquerel seperti dilaporkan adalah tidak tepat kerana instrumen yang digunakan hanya mampu mengukur kepekatan mineral, bukan tahap radioaktif.

Katanya, ukuran sebenar radiasi perlu menggunakan instrumen seperti Neutron Activation Analysis, Alpha Spectrometry atau Gamma Spectrometry, sementara penentuan keradioaktifan hanya boleh disahkan Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 304.

Beliau turut memaklumkan bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, mengetuai delegasi kerajaan negeri bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bersama jabatan teknikal termasuk JMG Malaysia bagi mendapatkan penjelasan rasmi.

No Image Caption

Menurutnya, beberapa ketetapan dicapai dalam pertemuan dengan kementerian termasuk penubuhan satu pasukan petugas peringkat nasional melibatkan semua jabatan teknikal untuk menyiasat dan meneliti semua dakwaan berkaitan aktiviti perlombongan REE.

"Siasatan lanjut sedang diteruskan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya disahkan berlaku pelanggaran SOP atau peraturan di bawah Enakmen Mineral (Perak) 2003, Akta Pembangunan Mineral 1994 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Ketetapan juga dibuat agar semua pihak dinasihatkan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang salah faham dan kekeliruan sehingga mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan," katanya.

Saarani berkata, Jabatan Tenaga Atom akan membuat analisis komprehensif untuk mengukur tahap sebenar keradioaktifan di tapak projek perlombongan REE.

Jelasnya, kerajaan negeri mengambil sikap terbuka dan akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan serta menghormati sebarang ketetapan yang akan diputuskan kelak.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Perak berkomitmen menghentikan aktiviti perlombongan REE jika mengancam keselamatan rakyat Pendirian ini disebabkan oleh kebimbangan mengenai pencemaran sungai dan keresahan awam Fenomena air biru belum dapat dikaitkan secara langsung dengan aktiviti perlombongan REE Kehadiran mineral dalam sungai boleh menyebabkan air menampakkan warna biru Siasatan lanjut sedang diteruskan dan tindakan tegas akan diambil jika terdapat pelanggaran SOP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!