Usul gantung 6 bulan: Takiyuddin dakwa tidak sah, 'double jeopardy'

Takiyuddin ketika mengadakan sidang media di Parlimen pada Rabu Rabu.
Takiyuddin ketika mengadakan sidang media di Parlimen pada Rabu Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa usul yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk menggantungnya selama enam bulan adalah salah dari segi undang-undang dan bersifat 'double jeopardy'.

Ketua Whip Pembangkang itu berkata, usul yang dijangka dicadangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tersebut bertindih dan melangkaui usul terdahulu yang pernah dikemukakan terhadapnya.

Menurutnya, usul awal yang dibawa oleh Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) untuk merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen masih belum diselesaikan, malah beliau sendiri belum dipanggil menghadiri sebarang prosiding.

“Itu adalah prosedur di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) untuk merujuk seseorang Ahli Parlimen ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, tetapi kes itu belum selesai, saya belum dipanggil atau dilepaskan.

“Tiba-tiba pula dikemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) untuk menggantung Ahli Parlimen selama enam bulan,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini, Rabu.

Saifuddin Nasution dijangka mencadangkan usul berkenaan susulan kenyataan Takiyuddin yang mengaitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan peristiwa Memali.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat pada Rabu, Saifuddin Nasution meminta Dewan memutuskan sama ada Takiyuddin wajar digantung berhubung kenyataan yang dibuat semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di peringkat dasar pada 22 Oktober lalu.

Dalam perkembangan sama, Takiyuddin berkata, beliau sudah mematuhi semua syarat yang ditetapkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Katanya, antara lain beliau telah menghantar surat penjelasan berhubung isu berkenaan kepada Speaker dalam tempoh yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Saya berbahas pada 22 Oktober lalu dan keesokan harinya Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat, menghantar surat kepada Speaker untuk merujuk saya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung kenyataan saya semasa perbahasan RUU Perbekalan 2026 itu.

“Selepas Speaker menerima surat tersebut, satu salinan dihantar kepada saya untuk memberi jawapan serta penjelasan. Saya telah menyerahkan jawapan bersama enam muka surat penjelasan dan lampiran kepada Speaker dalam tempoh ditetapkan.

“Apabila Speaker menerima jawapan saya, beliau perlu meneliti sama ada kes yang dibawa oleh Pulai itu berasas atau tidak. Jika berasas, barulah saya dihadapkan ke jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan oleh Speaker sendiri, namun sehingga kini proses itu belum dilaksanakan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendakwa usul untuk menggantungnya adalah bertentangan dengan undang-undang dan bersifat double jeopardy
  • Ketua Whip Pembangkang itu menyatakan usul dari Menteri Dalam Negeri bertindih dengan usul sebelumnya yang belum selesai
  • Takiyuddin belum dipanggil atau dilepaskan dari prosiding usul awal yang dibawa oleh Suhaizan Kaiat untuk merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen
  • Saifuddin Nasution dijangka mencadangkan usul penggantungan berkenaan kenyataan Takiyuddin tentang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan peristiwa Memali
  • Takiyuddin menyatakan telah mematuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Speaker Dewan Rakyat, termasuk menghantar surat penjelasan berhubung isu tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!