Dua pemilik kebun pisang kerugian RM20,000 diceroboh gajah liar

Mohd Samsudin mengambil pisang di kebunnya yang dirosakkan seekor gajah liar di Kampung Minda, pada Rabu. Foto Bernama
Mohd Samsudin mengambil pisang di kebunnya yang dirosakkan seekor gajah liar di Kampung Minda, pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

DUNGUN - Dua pemilik kebun pisang mengalami kerugian lebih RM20,000 selepas tanaman yang diusahakan musnah diceroboh seekor gajah liar di Kampung Minda Hulu Dungun, di sini sejak November lepas.

Mohd Samsudin Khalid, 62, berkata, mamalia itu menceroboh kebun pisangnya seluas satu hektar yang diusahakan sejak tiga tahun lepas pada 27 dan 29 November serta yang terbaharu pada Isnin, menyebabkan dia kerugian kira-kira RM10,000.

"Gajah liar itu merosakkan lebih 700 pokok pisang yang telah matang dan buah boleh dijual selain anak pokok pisang yang baru ditanam. Haiwan itu juga merosakkan pagar ketika menceroboh masuk ke dalam kebun pisang saya," katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Rabu.

Keadaan tanaman pisang milik Mohd Samsudin di kebunnya yang dirosakkan seekor gajah liar di Kampung Minda, pada Rabu. Foto Bernama
Keadaan tanaman pisang milik Mohd Samsudin di kebunnya yang dirosakkan seekor gajah liar di Kampung Minda, pada Rabu. Foto Bernama

Pada masa sama katanya, gajah liar itu turut menceroboh kebun pisang milik rakannya yang terletak berdekatan dari Khamis hingga Ahad lepas dan turut mengalami kerugian yang sama.

Mohd Samsudin berkata, terdapat 10 kebun pisang diusahakan penduduk di kampung berkenaan dan antara jenis pisang yang ditanam ialah pisang nangka, kelat siam dan pisang putar.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Minda Nordin Saman, 53, berkata, pihaknya telah membuat laporan pencerobohan gajah liar itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan lanjut.

"Petugas Perhilitan telah melakukan pemantuan di dua kebun pisang berkenaan bagi mengesan pergerakan gajah liar itu sejak beberapa hari lepas dan laporan mendapati haiwan itu turut dikesan berkeliaran di kampung ini pada April lepas," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Dua pemilik kebun pisang di Kampung Minda Hulu Dungun mengalami kerugian lebih RM20,000 akibat diceroboh gajah liar
  • Gajah tersebut merosakkan lebih 700 pokok pisang yang telah matang dan juga pagar kebun
  • Kejadian pencerobohan berulang pada 27 dan 29 November serta tarikh terbaharu pada Isnin
  • Terjadi pencerobohan kebun pisang milik rakannya yang mengalami kerugian sama
  • Laporan pencerobohan telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Terengganu untuk tindakan lanjut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!