Terpaksa 'telan' berpuluh biji kuih di lapangan terbang kerana dilarang bawa ke Jepun

Kuih berkenaan yang diisi dengan daging dan isi udang. Foto Agensi
Kuih berkenaan yang diisi dengan daging dan isi udang. Foto Agensi
A
A
A

HO CHI MINH - Seorang lelaki Vietnam berdepan situasi agak mencemaskan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat selepas dimaklumkan bahawa lebih 130 biji kuih udang-daging yang dibawanya tidak dibenarkan masuk ke Jepun.

Tran Van Tam yang bekerja di Jepun, membawa kira-kira tiga kilogram kuih tepung ubi berintikan udang dan daging dalam beg tangan.

Ibunya mengambil masa beberapa hari untuk menyiapkan kuih tradisional itu sebagai buah tangan untuk rakan serta rakan sekerjanya di luar negara.

Namun ketika proses daftar masuk, kakitangan syarikat penerbangan memeriksa bagasinya dan mendapati terdapat bahan makanan tersebut yang dilarang dibawa ke Jepun.

Tam kemudian dimaklumkan bahawa Jepun melarang sepenuhnya kemasukan produk berasaskan daging atau lembu, sama ada mentah, sejuk beku, diproses atau dimasak, atas faktor keselamatan makanan dan pencegahan penyakit.

Enggan membuang makanan hasil air tangan ibunya dan tidak mempunyai sesiapa di lapangan terbang untuk memakan makanan itu, Tam akhirnya duduk di ruang menunggu dan cuba menghabiskan kesemua kuih tersebut.

Rakaman video yang tular menunjukkan dia membuka beg plastik besar dan makan satu demi satu kuih berkenaan.

“Saya hanya mampu makan sekitar 30 biji sebelum benar-benar kenyang. Saya tak boleh teruskan,” katanya.

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa kes seperti ini bukan luar biasa.

Artikel Berkaitan:

Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong mempunyai larangan ketat terhadap kemasukan produk berasaskan daging bagi menghalang penularan penyakit haiwan seperti demam babi Afrika.

Mereka yang melanggar peraturan boleh dikenakan hukuman berat. - Agensi

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki Vietnam tidak dibenarkan membawa lebih 130 biji kuih udang-daging ke Jepun
  • Kuih tersebut dibuat oleh ibunya sebagai buah tangan bagi rakan-rakan di Jepun
  • Produk daging dilarang sepenuhnya masuk ke Jepun untuk pencegahan penyakit
  • Lelaki tersebut mencuba menghabiskan kesemua kuih di lapangan terbang
  • Jepun dan beberapa negara Asia mempunyai larangan ketat terhadap kemasukan produk berasaskan daging

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!