Lelaki telan loket telur emas bertatahkan permata bernilai hampir RM80,000

Loket telur Fabergé yang ditelan suspek. Foto: Agensi
Loket telur Fabergé yang ditelan suspek. Foto: Agensi
A
A
A

AUCKLAND – Polis New Zealand menahan seorang lelaki yang disyaki mencuri dengan menelan loket telur Fabergé emas bertatahkan permata di sebuah kedai emas di sini, pada Jumaat lalu.

Menurut kenyataan Komander Auckland Central, Inspektor Grae Anderson, laporan kejadian diterima sekitar jam 3.30 petang sebelum suspek ditahan di premis terbabit.

Lelaki berusia 32 tahun itu telah didakwa atas kesalahan mencuri dan kini ditahan reman sementara menunggu tarikh sebutan kes pada 8 Disember ini.

Grae berkata, suspek telah menjalani pemeriksaan perubatan dan kini berada di bawah pemantauan berterusan oleh seorang pegawai.

“Setakat ini, loket tersebut masih belum ditemui,” tambahnya.

Menurut laporan Radio New Zealand, loket Fabergé tersebut merupakan jenis James Bond Octopussy Egg yang dianggarkan bernilai NZ$33,585 (RM79,937).

Laman rasmi Fabergé menunjukkan bahawa loket itu diperbuat daripada emas kuning 18 karat dan enamel hijau guilloché, serta dihiasi 60 butir berlian putih dan 15 batu nilam biru.

Fabergé ialah sebuah rumah barang kemas bersejarah yang diasaskan di St. Petersburg, Rusia pada tahun 1842.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis New Zealand menahan lelaki yang mencuri loket telur Fabergé di sebuah kedai emas di Auckland
  • Lelaki berusia 32 tahun itu didakwa atas kesalahan mencuri dan ditahan reman sementara menunggu tarikh sebutan kes
  • Loket yang belum ditemui bernilai 33,585 dolar New Zealand
  • Loket Fabergé diperbuat daripada emas kuning 18 karat dan dihiasi 60 berlian putih dan 15 batu nilam biru
  • Fabergé merupakan rumah barang kemas bersejarah yang diasaskan di Rusia pada tahun 1842

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!