Kerajaan Sabah perlu tunai manifesto, jangan lupakan rakyat kawasan pembangkang

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah yang baharu terbentuk perlu menunaikan manifesto dan mengubah cara pentadbiran dengan tidak mengabaikan keperluan rakyat di kawasan pembangkang.
Penyelidik Unit Kajian Elektoral dan Geopolitik Borneo (GEOPES), Profesor Madya Dr Md Saffie Abdul Rahim berkata, kerajaan baharu Sabah perlu memberi keutamaan kepada menunaikan manifesto.
Menurutnya, dalam masa sama, tidak mengabaikan rakyat di kawasan pembangkang.
"Bila kita melalui satu proses pilihan raya, itu namanya satu sistem demokrasi telah kita laksanakan. Kita kena hormati sebab itu bukan keputusan yang direka-reka. Itu keputusan yang lahir daripada semua masyarakat yang ada hak sebagai pengundi ataupun rakyat di Sabah.
"Dalam konteks ini, kerajaan yang dipilih harus mengurus tadbir negeri ini sebagai mana mereka janjikan, apa yang mereka laungkan sebelum pilihan raya dalam definisi politik bertanding itu, manifestonya. Jangan lupakan manifesto itu.
"Satu lagi bagi saya walaupun ada blok pembangkang di kawasan-kawasan yang dimenangi pembangkang itu, kita tidak boleh nafikan, itulah namanya demokrasi. Tapi kita tidak boleh abaikan mereka," katanya ketika ditemubual wartawan Sinar Harian di Kota Kinabalu.
Menurutnya, kawasan pembangkang tetap dalam Sabah.
"Sebagai contoh di Sabah ini, kita lihat pola pengundi pantai timur itu banyak Warisan, takkan kita abaikan sedangkan itu pun rakyat," katanya.
Terdahulu, pada 30 November lalu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah dan kerajaan baharu Sabah terbentuk.
Kerajaan Perpaduan Sabah kemudian memulakan Mesyuarat Kabinet pertama pada Rabu.
Ringkasan AI
- Kerajaan Sabah yang baru harus menunaikan manifesto
- Perlu tidak mengabaikan keperluan rakyat di kawasan pembangkang
- GEOPES menekankan pentingnya menghormati proses demokrasi
- Kawasan pembangkang tidak boleh dinafikan sebagai sebahagian dari Sabah
- Kerajaan Perpaduan Sabah dibentuk selepas Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
