Dua suspek kes curi motosikal ditangkap

Perbuatan kedua-dua suspek berjaya dirakam CCTV di lokasi kejadian.
Perbuatan kedua-dua suspek berjaya dirakam CCTV di lokasi kejadian.
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis berjaya menahan dua lelaki berusia 25 dan 29 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian motosikal jenis Honda EX5 di kawasan Mekarsari di sini pada Selasa.

​Kedua-dua suspek ditahan selepas video perbuatan mereka melarikan motosikal terbabit dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) dan tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, kes kecurian motosikal itu berlaku sekitar jam 4.30 pagi pada Isnin yang mana pihak polis menerima satu laporan mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan polis mendapati motosikal tersebut ditinggalkan dalam keadaan berkunci pada suis utama, namun tiada sebarang kunci tambahan digunakan.

"Sejurus menerima laporan kejadian pihaknya menjalankan siasatan dan risikian sebelum berjaya menangkap kedua-dua suspek.

​"Salah seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau dan tiga rekod jenayah narkotik, manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Anuar berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

"Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek akan dibuat di hadapan Majistret Mahkamah Butterworth pada Rabu untuk siasatan lanjut.

"​Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana melakukan kecurian motosikal," katanya.

Artikel Berkaitan:

​Justeru katanya, polis menyeru orang ramai agar tidak mensensasikan kes ini sementara siasatan masih berjalan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Muhammad Aiman Safwan Mohd Fairuz di talian 04 - 576 2222 (samb: 2275) atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan, tambahnya.

 

Ringkasan AI

  • Polis berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian motosikal Honda EX5 di Mekarsari
  • Kedua-dua suspek ditahan selepas video kejadian dirakam CCTV dan tular di media sosial
  • Kes berlaku sekitar jam 4.30 pagi pada Isnin dan motosikal ditinggalkan dalam keadaan berkunci tanpa kunci tambahan
  • Satu suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan tiga rekod jenayah narkotik, manakala seorang lagi tiada rekod
  • Kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!