Zetrix AI rintis revolusi AI patuh syariah
Anjakan besar syarikat daripada penyedia e-perkhidmatan kepada peneraju teknologi masa depan

SELAMA lebih dua dekad, nama MY E.G. Services Berhad cukup sinonim dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya apabila melibatkan pelbagai urusan kerajaan secara elektronik.
Dari pembaharuan lesen memandu, pembayaran cukai jalan hinggalah perkhidmatan berkaitan imigresen, MYEG menjadi jenama yang memudahkan kehidupan seharian jutaan pengguna.
Namun pada 3 Julai lalu, lembaran baharu tercatat dalam sejarah apabila syarikat itu secara rasmi menukar namanya kepada Zetrix AI Berhad.
Perubahan ini bukan sekadar penjenamaan semata-mata sebaliknya menandakan anjakan besar syarikat daripada penyedia e-perkhidmatan kepada peneraju teknologi masa depan.
Pengasas Bersama Zetrix, Datuk Fadzli Shah dalam temubual eksklusif bersama Sinar Harian berkata, langkah berani itu mencerminkan aspirasi syarikat untuk melonjakkan Malaysia sebagai pusat inovasi digital bertaraf dunia.

Menurut beliau, syarikat yang sebelum ini menumpukan kepada sistem elektronik tradisional kini sudah melangkah jauh dengan fokus terhadap teknologi baharu seperti blockchain dan kecerdasan buatan (AI).
“Zetrix AI mahu membawa Malaysia ke tahap seterusnya sekali gus menjadi hab pembangunan teknologi canggih, beretika dan relevan dengan dunia Islam,” katanya.
Antara bukti nyata transformasi itu ialah penciptaan NurAI, sebuah model bahasa besar (LLM) pertama di dunia yang dibangunkan berteraskan nilai Islam serta selaras Syariah.
Bagi Fadzli, pembangunan NurAI merupakan pencapaian paling istimewa dalam perjalanan syarikat setakat ini.
“Saya bangga dengan banyak pencapaian syarikat tetapi pembangunan NurAI benar-benar bermakna. Ini adalah LLM pertama dunia yang selaras Syariah, mercu tanda untuk umat Islam,” ujarnya.
Lebih istimewa, NurAI telah dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga pengerusi Majlis Halal Malaysia, ia merupakan satu pengiktirafan besar terhadap aspirasi Zetrix AI membangunkan teknologi berpaksikan Syariah.

Fadzli menjelaskan, ketika aplikasi AI global seperti ChatGPT, Gemini dan DeepSeek semakin popular masih wujud jurang ketepatan fakta terutama apabila melibatkan isu hukum dan fatwa.
“AI Barat cenderung membawa naratif liberal manakala AI dari China pula sarat dengan dogma tempatan mereka. Persoalan agama pula ditangani secara longgar atau tidak tepat.
“Dengan NurAI, kami mahu tampilkan model berbeza yang berpaksikan pandangan dunia Islam serta mengangkat perspektif dari Global South misalnya,” jelasnya.
Dibangunkan dalam empat bahasa utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Indonesia, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, keunikan model ini tidak hanya terbatas pada isu keagamaan dan ilmu teras Islam seperti sejarah, falsafah dan pengajian al-Quran sebaliknya ia dirangka untuk menyokong pelbagai sektor termasuk perundangan, kesihatan, kewangan serta pengetahuan am.
“Memang benar ada perbezaan interpretasi Syariah antara negara tetapi asasnya tetap sama iaitu al-Quran, hadis dan ijmak. Dari situ kami membentuk teras NurAI,” katanya.
Menurut Fadzli lagi, NurAI juga bukan sekadar sistem pintar tetapi simbol keyakinan bahawa umat Islam mampu menjadi peneraju teknologi.
“Kalau kita imbas sejarah, kegemilangan sains, matematik dan falsafah banyak datang daripada dunia Islam.
“Tetapi hari ini, kita terlalu bergantung kepada ciptaan orang lain. NurAI adalah simbol kebangkitan semula,” katanya penuh semangat.
Selain berpaksikan Syariah, NurAI turut dibina dengan ciri privasi tinggi. Ia hanya belajar daripada maklumat yang diterima tanpa mendedahkan data asal sekali gus mengelakkan kebocoran maklumat.
“Sekiranya ada topik di luar kapasiti, NurAI tidak akan memberi jawapan sewenang-wenangnya. Sebaliknya, ia akan cadangkan pengguna rujuk pakar berkelayakan atau sumber sahih.
“Inilah pendekatan lebih bertanggungjawab, berbeza daripada AI konvensional,” jelasnya.
Dalam perkembangan terkini, Zetrix AI baru-baru ini menandatangani Surat Hasrat (LOI) dengan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Kerjasama itu melibatkan tiga bidang utama, iaitu pensijilan dan tadbir urus syariah bagi merangka garis panduan etika dan piawaian pensijilan untuk sistem AI berpaksikan Islam.
Berikutnya, advokasi dan promosi global bertujuan memposisikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan AI Islam dan peneraju ekonomi digital Islam bernilai USD5.74 trilion menjelang 2030.
Sementara itu, saluran rasmi Jakim dalam NurAI pula akan menyediakan platform dipercayai untuk fatwa, pensijilan halal dan panduan Syariah sahih bagi membanteras maklumat palsu.
Menurut Fadzli, kerjasama itu membuktikan keseriusan kerajaan dalam memastikan pembangunan teknologi kekal selari dengan pematuhan Syariah.
“Dua perkara penting mesti dijaga iaitu sumber data yang melatih sistem dan cara maklumat disampaikan. Sistem juga tidak boleh mengeluarkan jawapan yang menyinggung atau merendahkan orang lain. Itu prinsip utama NurAI,” katanya.
Zetrix AI melihat masa depan cerah untuk NurAI, bukan sahaja dalam bidang agama tetapi juga dalam sektor pendidikan, undang-undang, kesihatan dan kewangan.
Beliau turut optimis Malaysia berpeluang muncul sebagai peneraju global dalam AI patuh Syariah dengan sokongan kerajaan, agensi tempatan seperti MIMOS serta kerjasama antarabangsa.
“Kami percaya arah masa depan terletak pada gabungan blockchain dan AI. Bukan sahaja membangunkan teknologi, tetapi juga menyediakan perkhidmatan kepada pengguna serta industri,” katanya.
Fadzli turut mengaitkan aspirasi Zetrix AI dengan simbol paling dikenali umat Islam iaitu logo halal.
“Seperti logo halal yang diiktiraf di seluruh dunia, AI dan blockchain patuh Syariah juga harus dipandang pada taraf sama.
“Inilah masa depan, bukan sekadar ikut arus tetapi mencipta jalan baharu berteraskan nilai Islam,” ujarnya.
Melangkah ke hadapan, Zetrix AI turut membangunkan fungsi multi-modul yang membolehkan NurAI mengendalikan data berbentuk foto, video dan visual.
Namun, langkah ini hadir bersama cabaran baharu berkaitan pematuhan Syariah.
“Multi-modul membuka potensi besar, tetapi pada masa sama timbul kegusaran sama ada ia boleh menjejaskan pematuhan Syariah. Sebab itu kami akan terus adakan semakan bersama pakar,” jelas Fadzli.
Lebih daripada sekadar teknologi, Fadzli juga melihat NurAI sebagai pelengkap ekosistem halal global.
“Ia membuktikan industri halal bukan sekadar makanan atau kosmetik tetapi juga teknologi teras.
“Dengan NurAI, Malaysia mampu jadi rujukan dunia dalam pembangunan AI beretika. Inilah peluang untuk menunjukkan bahawa kemajuan teknologi boleh bergerak seiring dengan prinsip Islam,” katanya.
Pada dasarnya, kelahiran NurAI membuktikan dunia Islam tidak ketinggalan dalam arus revolusi teknologi.
Dengan langkah berani ini, Zetrix AI bukan sahaja membuka lembaran baharu buat syarikat, tetapi juga meletakkan Malaysia di peta global sebagai perintis teknologi patuh Syariah yang mampu memberi impak besar kepada umat sejagat.
Ringkasan AI
- MY E.G. Services Berhad telah berubah nama menjadi Zetrix AI Berhad, menandakan peralihan dari penyedia e-perkhidmatan kepada peneraju teknologi masa depan
- Fokus Zetrix AI adalah pada teknologi baharu seperti blockchain dan kecerdasan buatan (AI) dengan aspirasi menjadikan Malaysia pusat inovasi digital global
- Penciptaan NurAI, model bahasa besar berteraskan nilai Islam dan selaras Syariah, merupakan pencapaian istimewa Zetrix AI dalam mengintegrasikan teknologi dengan pandangan dunia Islam
- Kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melibatkan pensijilan syariah bagi AI, mempromosikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan AI Islam
- Fadzli Shah, Pengasas Bersama Zetrix AI, melihat NurAI sebagai simbol kemajuan teknologi yang selari dengan prinsip Islam dan berpotensi besar dalam sektor pendidikan, undang-undang, kesihatan, dan kewangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

