ASNB perkasa literasi kewangan sejak kecil

SAMBUTAN Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2025 anjuran syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjadi platform memperkasa literasi kewangan sejak kecil.
Ia juga selari dengan seruan ‘Kita Generasi Labur’ oleh ASNB yang berperanan memupuk rakyat Malaysia yang celik dan bersedia untuk masa hadapan.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, usaha itu dibuat kerana setiap amalan yang baik perlu dipupuk sejak usia muda.
“Ibu bapa dan keluarga adalah pendorong dalam membentuk disiplin kewangan anak-anak supaya bijak menghargai nilai wang, sebagai persediaan menghadapi pelbagai cabaran di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Program selama dua hari di Stadium Merdeka tyang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu menarik kehadiran hampir 10,000 pengunjung termasuk murid sekolah, kanak-kanak istimewa serta penghuni rumah kebajikan.

ASNB sebelum ini juga melancarkan program khas ASNB Bijak khusus untuk pelabur muda berusia 17 tahun ke bawah bertujuan memberi pendedahan awal terhadap konsep simpanan dan pelaburan serta memupuk tabiat kewangan positif sejak kecil.
Sambutan Hari Kanak-kanak kali ini turut menyaksikan pelancaran maskot dan penampilan baharu ASNB Bijak iaitu Along, Angah dan Achik, trio kesayangan dari era 1990-an dan awal 2000-an yang mana kemunculan semula mereka mencerminkan komitmen ASNB untuk menerapkan literasi kewangan melalui pendekatan yang lebih ceria, interaktif dan mesra kanak-kanak.
Dalam perkembangan berkaitan, Kelab Pelaburan Bijak PNB (KPBPNB) juga meneruskan penganjuran Kuiz Pelaburan PNB 2025 yang menyaksikan penyertaan 16,752 pelajar, peningkatan 31 peratus berbanding tahun lalu dengan Penang Free School dinobatkan sebagai juara.
Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengarah Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee berkata, sehingga 31 Oktober 2025, sebanyak 429 sekolah menengah di seluruh Malaysia telah menyertai KPBPNB
“Kami berpuas hati dan gembira melihat 89 peratus pelajar telah mula menyimpan atau melabur selepas menyertai program KPBPNB. Ini menunjukkan bahawa KPBPNB memberi impak positif kepada pelajar dan angka ini menunjukkan perubahan tingkah laku yang positif dalam kalangan pelajar,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2025 oleh ASNB dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperkasa literasi kewangan sejak kecil
- Ia selaras dengan seruan 'Kita Generasi Labur' oleh ASNB untuk membentuk rakyat Malaysia yang celik kewangan
- Pengerusi Kumpulan PNB menyatakan pentingnya membentuk disiplin kewangan sejak usia muda dengan sokongan ibu bapa dan keluarga
- Program ini menarik hampir 10,000 pengunjung dan melancarkan maskot dan penampilan baharu ASNB Bijak untuk menerapkan literasi kewangan
- Kelab Pelaburan Bijak PNB menyaksikan peningkatan penyertaan pelajar dalam Kuiz Pelaburan PNB 2025, menunjukkan impak positif program terhadap tingkah laku simpanan dan pelaburan pelajar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

