Mydin perkasa usahawan tempatan, galak pelancongan domestik

MYDIN Mohamed Holdings Berhad (Mydin) memperluas usaha menyokong ekonomi tempatan dengan membuka akses pasaran kepada usahawan tempatan selain menggalakkan rakyat meneroka destinasi pelancongan dalam negara.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata, akses pasaran penting bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), industri kecil dan sederhana (IKS) serta usahawan orang kurang upaya (OKU) untuk mengembangkan perniagaan.
Menurutnya, usahawan bukan sahaja perlu menghasilkan produk berkualiti, malah perlu memanfaatkan peluang pemasaran bagi memperkenalkan produk kepada pengguna lebih luas dan memahami keperluan pasaran.
“Bukan mudah untuk usahawan kecil mengembangkan perniagaan. Ada yang mempunyai produk berkualiti dan berpotensi, namun memerlukan peluang untuk memperkenalkan produk mereka kepada pasaran yang lebih luas.
“Mydin sendiri bermula daripada sebuah kedai papan. Pengalaman itu mengajar kami bahawa peluang, usaha dan kesungguhan merupakan antara elemen penting dalam membangunkan sesebuah perniagaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Usaha itu diteruskan menerusi penyertaan Mydin dalam Kempen Jom Malaysia: Ikon Lokal anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dengan penglibatan 16 usahawan daripada NS Choice serta Halal Kotej Go Global Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
Selain itu, tujuh perniagaan golongan OKU turut mengambil bahagian menerusi kerjasama Selangor Youth Community, manakala Mydin menyumbangkan baucar tunai RM500 kepada setiap usahawan berkenaan.
Pada masa sama, Mydin bersama Tourism Malaysia dan rakan strategik lain melancarkan Jelajah Lokal Treasure Hunt bagi menggalakkan pelancongan domestik serta memperkenalkan destinasi menarik di seluruh negara.
Program itu berlangsung dalam tiga pusingan membabitkan laluan Mydin Subang Jaya ke Mydin MITC, Melaka pada 24 Oktober, Mydin Gopeng RTC ke Mydin Bukit Mertajam pada 31 Oktober dan Mydin Kuala Terengganu ke Mydin Tunjong, Kelantan pada 7 November.
Setiap pusingan melibatkan 200 peserta berusia 18 tahun ke atas yang dibahagikan kepada 50 kumpulan dengan keseluruhan hadiah yang ditawarkan berjumlah RM45,000.
Program tersebut turut disertakan inisiatif Mydin Prihatin dengan peruntukan RM15,000 bagi menyediakan 150 kotak makanan bernilai RM100 untuk diagihkan kepada 150 keluarga B40 di tiga kawasan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
