ART: MyIPO rancang pinda tujuh akta, perkukuh perlindungan harta intelek negara

Yusnieza (dua dari kiri) menyempurnakan gimik majlis pelancaran di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Jaya di Petaling Jaya pada Selasa. 
Yusnieza (dua dari kiri) menyempurnakan gimik majlis pelancaran di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Jaya di Petaling Jaya pada Selasa. 
A
A
A

SHAH ALAM – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) merancang meminda tujuh akta utama di bawah bidang kuasanya bermula 2026 bagi memastikan perlindungan harta intelek (IP) negara kekal relevan, berkesan dan selaras dengan piawaian antarabangsa.

Langkah strategik itu turut mengambil kira perkembangan global termasuk Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat (ART) yang dimeterai pada 26 Oktober lalu, sekali gus membuka peluang pasaran lebih luas kepada pencipta, penggiat industri dan pelabur tempatan.

Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff berkata, pindaan itu bertujuan menyelaraskan standard perlindungan, memperkukuh penguatkuasaan serta meningkatkan mekanisme IP agar inovasi tempatan lebih diyakini dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Beliau menegaskan, langkah itu juga bakal memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi yang mesra pelabur serta memastikan kepentingan pencipta, usahawan dan penggiat industri terus terpelihara.

Tujuh akta terlibat ialah Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002, Akta Cap Dagangan 2019, Akta Paten 1983, Akta Hak Cipta 1987, Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000, Akta Petunjuk Geografi 2022 dan Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996.

Selaras usaha memperkukuh ekosistem IP negara, ujarnya, MyIPO turut melaksanakan sepenuhnya sistem permohonan Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta (CVN) secara dalam talian bermula 2 Disember 2025.

"Transformasi digital tersebut membolehkan permohonan dibuat dengan lebih cepat, mudah dan boleh diakses dari mana-mana lokasi tanpa kehadiran fizikal ke kaunter.

"Ia memberi manfaat kepada pencipta, pemilik hak cipta, institusi pendidikan, usahawan dan penjawat awam yang kini boleh memfailkan karya dengan lebih efisien dan teratur," ujarnya pada gimik majlis pelancaran di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Jaya di Petaling Jaya pada Selasa.

Melalui platform yang dipertingkatkan itu, pemohon boleh mengemukakan dokumen, mengesahkan karya, membuat pembayaran digital serta menerima Sijil Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta sejurus pemfailan selesai melalui portal iponline2u.myipo.gov.my.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, MyIPO sekali lagi akan menganjurkan Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2026 bersempena sambutan Hari Harta Intelek Negara.

Penganugerahan itu mengiktiraf pencipta, organisasi, pelajar, usahawan dan ejen harta intelek melalui kategori seperti Anugerah Organisasi Terunggul, Anugerah Juara Jenama, Anugerah Wira Inovatif serta Anugerah Khas Pemerkasaan Harta Intelek dan Anugerah Khas Pencapaian Komersial.

Penyertaan AHIN dibuka dari 7 November 2025 hingga 15 Januari 2026 sebagai platform untuk menonjolkan inovasi, kreativiti dan pengurusan IP yang cemerlang.

Acara kemuncak dijadualkan berlangsung pada 30 April 2026 dengan tema “IP & Sukan – Harta Intelek Nadi Malaysia Madani: Dari Idea ke Podium”.

Bagi meningkatkan kesedaran awam, MyIPO turut melancarkan Promosi MyIPO @ LRT yang menggunakan tren LRT sebagai medium maklumat.

Visual promosi itu membawa mesej menggalakkan rakyat mengambil langkah proaktif mendaftar hak cipta, paten, cap dagangan dan reka bentuk perindustrian sebagai usaha melindungi serta mengkomersialkan harta intelek mereka.

 

Ringkasan AI

  • MyIPO merancang meminda tujuh akta utama bermula 2026 untuk memastikan perlindungan harta intelek negara selaras dengan piawaian antarabangsa
  • Pindaan tersebut bertujuan menyelaraskan standard perlindungan, memperkukuh penguatkuasaan serta meningkatkan mekanisme IP
  • Langkah ini akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi yang mesra pelabur
  • MyIPO akan melaksanakan sistem permohonan Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta secara dalam talian bermula 2 Disember 2025
  • MyIPO akan menganjurkan Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2026 untuk mengiktiraf inovasi dan kreativiti dalam pengurusan IP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!