Malaysia perlu contohi Singapura bendung scam — JASANUSA

SHAH ALAM — Pertubuhan Jalinan Sahabat Nusantara (JASANUSA) menggesa kerajaan berhenti memberi alasan dan segera menggunakan kuasa undang-undang sedia ada bagi membanteras kegiatan penipuan dalam talian (scam) yang dilihat semakin tidak terkawal hingga menyebabkan rakyat kerugian berbillion ringgit setiap tahun.
Presidennya, Samsudin Awang menegaskan kerajaan tidak boleh terus menyalahkan faktor teknikal, kekangan syarikat telekomunikasi (telco) atau taktik penjenayah siber sebagai alasan kegagalan menangani masalah tersebut.
Menurutnya, undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Perlindungan Pengguna 1999 sudah mencukupi, namun apa yang kurang ialah keberanian politik dan kesungguhan pentadbiran untuk bertindak tegas.
“Ketika ini angka kerugian RM1.9 bilion setakat September 2025 mencerminkan kerajaan gagal meletakkan isu scam sebagai keutamaan nasional. Bagaimana rakyat boleh rasa selamat jika setiap hari ada sahaja kes baharu sedangkan tindakan kerajaan kelihatan sekadar reaktif?” ujarnya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, rakyat kini seolah-olah dibiarkan berdepan sendirian dengan sindiket antarabangsa, sedangkan negara serantau seperti Singapura sudah bertahun-tahun mendahului Malaysia dalam aspek perlindungan pengguna digital.

Samsudin berkata, aplikasi ScamShield yang dibangunkan kerajaan Singapura terbukti mengurangkan jumlah panggilan scam secara ketara dan digunakan secara meluas di negara itu.
“Jika Singapura boleh membina aplikasi nasional untuk melindungi rakyatnya, mengapa Malaysia masih sibuk mengumumkan kempen kesedaran setiap beberapa bulan seolah-olah itu satu-satunya solusi?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan keutamaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang disifatkan lebih pantas menurunkan kandungan media sosial berbanding menyekat nombor serta infrastruktur komunikasi digunakan scammer.
“MCMC nampaknya lebih efisien memantau posting rakyat daripada menjejaki laluan komunikasi penipu antarabangsa yang menggunakan rangkaian tempatan,” ujarnya.
Sehubungan itu, JASANUSA menuntut perubahan drastik dalam pendekatan MCMC termasuk tindakan segera menyekat ribuan nombor dan domain yang dikenal pasti sebagai sumber scam, menghentikan budaya mesyuarat berulang tanpa hasil, memaksa telco bertanggungjawab terhadap kelemahan sistem yang membenarkan spoofing serta memperkenalkan sistem penyekatan automatik tanpa bergantung kepada aduan pengguna.
“Jika telco di Singapura boleh menyekat panggilan scam hampir sepenuhnya, mengapa telco di Malaysia tidak boleh? Atau tidak mahu?” soalnya lagi.
Samsudin menegaskan Malaysia berisiko menjadi “syurga scammer” jika kelemahan struktur komunikasi tidak diperbetulkan segera, memandangkan setiap hari ribuan rakyat hilang wang simpanan namun kerajaan seolah-olah bergerak dalam gear perlahan.
“Ini bukan masa untuk kenyataan media lunak. Ini masa untuk tindakan keras, menyeluruh dan tanpa kompromi. Rakyat sudah letih dengan janji. Mereka hanya mahu perlindungan, tetapi itu pun kerajaan masih gagal sediakan.” ujarnya.
Ringkasan AI
- JASANUSA menggesa kerajaan untuk membanteras kegiatan penipuan dalam talian menggunakan kuasa undang-undang sedia ada Presidennya menegaskan undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Perlindungan Pengguna 1999 sudah mencukupi Kerugian akibat scam hingga September 2025 mencapai RM1.9 bilion, menunjukkan kerajaan gagal menjadikan isu scam sebagai keutamaan nasional Singapura telah mendahului Malaysia dalam perlindungan pengguna digital melalui penggunaan aplikasi ScamShield JASANUSA mendesak perubahan drastik dalam pendekatan MCMC dan telco untuk menangani scam, mencadangkan penyekatan otomatik dan tindakan lebih keras terhadap scam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

