X

Kindly register in order to view this article
!

33 individu ditahan ingkar PKP di Johor

Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan seramai 33 individu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu, seramai 19 individu ditahan semalam dan semua yang ditahan itu ditahan di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Sesiapa yang melakukan kesalahan tidak mematuhi apa-apa perintah yang sah dikeluarkan mana-mana pegawai yang diberikan kuasa boleh disabitkan di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, mereka juga boleh disiasat di bawah Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000.

Justeru, beliau menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berada di rumah dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi PKP.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus