6 ditahan, vape bernilai lebih RM1.2 juta dirampas

BATU PAHAT – [DIKEMAS KINI] Enam termasuk dua wanita ditahan manakala pelbagai peranti dan cecair vape bernilai lebih RM1.2 juta dirampas dalam Op Taring Alpha 3 di sekitar Batu Pahat, Ayer Hitam, Yong Peng dan Johor Bahru.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Superintenden Salehin Suleiman berkata, operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi itu dilaksanakan pada jam 12 tengah hari, Rabu lalu.
Menurut beliau, sebanyak 5,215 peranti dan 13,968 cecair vape dirampas daripada enam premis yang diperiksa.

“Keenam-enam individu tempatan yang ditahan berusia antara 20 hingga 39 tahun. Kesemua premis terbabit gagal mengemukakan dokumen sah penjualan peranti dan cecair vape,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, enam notis sitaan turut dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan atas pelbagai kesalahan berkaitan perniagaan tanpa lesen sah.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan melebihi RM1.2 juta. Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak polis serta agensi berkaitan,” ujarnya.

Menurut Salehin, operasi berkenaan turut disertai penguat kuasa Majlis Daerah Yong Peng (MDYP), Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Majlis Perbandaran Johor Bahru (MPJB) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Cawangan Batu Pahat dan Johor Bahru.
Tambahnya, kerjasama antara PGA dan agensi penguat kuasa lain akan terus diperkukuh bagi membanteras kegiatan penjualan rokok elektronik yang kian membimbangkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

