Langkah tepat Sinar Harian angkat suara masyarakat berasaskan penyelesaian

SHAH ALAM - Pengenalan wajah baharu Sinar Harian bertepatan dengan tuntutan semasa untuk mengangkat suara masyarakat secara lebih inklusif, bertanggungjawab dan berorientasikan penyelesaian.
Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pembaharuan itu penting memperkukuhkan fungsi media sebagai jambatan antara rakyat dan pembuat dasar yang akan menyumbang kepada pengukuhan demokrasi, integriti tadbir urus dan perpaduan nasional.
"Seperti yang ditegaskan oleh Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli, penekanan terhadap kewartawanan yang bukan sekadar melaporkan isu tetapi turut menawarkan penyelesaian merupakan tanda kesungguhan dalam memartabatkan profesionalisme media.
"Pendekatan berasaskan penyelesaian ini selari dengan prinsip islah dalam tradisi Islam, iaitu mengajak kepada kebaikan, menolak kemudaratan serta memberikan harapan dan jalan keluar kepada masyarakat dalam menghadapi cabaran semasa," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Menurut Ahmad Fahmi, pembaharuan yang memfokuskan 'Suara Rakyat' itu dilihat akan membuka ruang kepada pelbagai kelompok masyarakat termasuk golongan belia, komuniti marhaen serta kumpulan yang sering terpinggir daripada wacana arus perdana.
"Langkah ini memastikan rakyat bukan sekadar menjadi pemerhati tetapi turut menjadi pemegang taruh yang signifikan dalam perbincangan mengenai halatuju negara.
"ABIM yakin usaha ini akan memperkayakan perbahasan awam dan memperkukuh keupayaan masyarakat memahami isu melalui lensa yang adil, kritis dan berimbang," ujarnya.
Dalam pada itu, ABIM turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Sinar Harian menerusi perkongsian pandangan, penyertaan dalam wacana serta pelbagai bentuk kerjasama lain bagi memperluas naratif pencerahan dan penyatuan masyarakat.
Kata beliau, pihaknya percaya bahawa pembaharuan yang dibawa itu akan terus memperkukuh peranan media sebagai wahana pencerahan, agen perubahan dan suara nurani masyarakat.
"Usaha memperkasa 'Suara Rakyat' ini diharapkan akan memberi manfaat besar kepada rakyat dan negara, serta menjadi landasan untuk menyuarakan kebenaran dengan amanah, hikmah dan integriti, sejajar semangat Malaysia Madani," katanya.
Ringkasan AI
- Sinar Harian memperbaharui wajah untuk mengangkat suara masyarakat secara inklusif dan bertanggungjawab
- Pembaharuan itu bertujuan memperkukuh fungsi media sebagai jambatan antara rakyat dan pembuat dasar
- Penekanan pada kewartawanan yang menawarkan penyelesaian sejajar dengan prinsip islah dalam tradisi Islam
- Inisiatif berfokus pada 'Suara Rakyat' untuk melibatkan pelbagai kelompok masyarakat termasuk yang sering terpinggir
- ABIM menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Sinar Harian dalam memperluas naratif pencerahan dan penyatuan masyarakat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
