Sinar Harian perkenal wajah baharu, fokus Suara Rakyat mulai 1 Disember

Sinar Harian melancarkan wajah dan arah tuju editorial baharu menjelang ulang tahun ke-20.
Sinar Harian melancarkan wajah dan arah tuju editorial baharu menjelang ulang tahun ke-20.
A
A
A

SHAH ALAM – Menjelang ulang tahun ke-20, Sinar Harian melangkah ke fasa baharu dengan pelancaran wajah dan arah tuju editorial diperbaharui bermula 1 Disember.

Berteraskan cogan kata Suara Rakyat, pembaharuan itu sebagai refleksi perjalanan dua dekad organisasi yang sentiasa memberi ruang kepada semua pihak untuk bersuara.

Malah sejak penubuhannya, Sinar Harian telah melalui beberapa perubahan tagline dan pendekatan, bermula dengan konsep Cakna Komuniti sebelum membawa identiti Telus dan Tulus.

Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, DNA itu menjadi keunikan Sinar Harian selama lebih sedekad kerana telah memberikan platform seimbang kepada pemimpin kerajaan dan pembangkang ketika kebanyakan media lain belum mengamalkan prinsip tersebut.

Zamri
Zamri

“Namun dengan perubahan landskap digital, politik dan media, banyak organisasi berita telah meniru pendekatan itu.

“Jadi sudah tiba masanya Sinar Harian menetapkan hala tuju baharu yang lebih segar serta relevan dengan kehendak semasa.

“Pada akhirnya rakyat adalah segalanya. Apa yang kita zahirkan di semua platform mesti berpihak kepada rakyat dan boleh memenangkan rakyat, bukan memenangkan mana-mana pihak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kewartawanan penyelesaian

Dalam pada itu, Zamri menjelaskan, perubahan utama yang ditekankan adalah solution journalism iaitu pelaporan yang menawarkan penyelesaian dan harapan.

Malah beliau mengakui, dalam tempoh lima hingga 10 tahun kebelakangan ini, budaya digital mendorong banyak media termasuk Sinar Harian mengejar tajuk sensasi semata-mata untuk meraih tontonan.

“Sekarang kita tekankan kepada wartawan supaya setiap isu rakyat bukan hanya disuarakan, tetapi harus ada penyelesaian.

“Kita mahu berita yang membina generasi lebih baik dan memandaikan rakyat,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi contoh bagaimana pendekatan itu telah diterjemah melalui program Town Hall Rakyat Bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Kuantan baru-baru ini.

Seorang penduduk yang telah lama berdepan masalah banjir akibat kegagalan sistem saliran mengemukakan soalan melalui platform itu.

Hasilnya, beberapa hari kemudian agensi berkaitan turun padang dan mengambil tindakan susulan.

“Penduduk menghubungi wartawan kami untuk mengucapkan terima kasih. Perkara yang diutarakan berjaya membantu mereka.

“Itulah inspirasi kita, memberi harapan dan membantu rakyat,” katanya.

Transformasi versi cetak

Sinar Harian turut melakukan perubahan besar pada platform cetak termasuk reka bentuk muka depan, susun atur dan segmentasi kandungan.

Zamri memaklumkan, ruangan muka belakang yang lazimnya dipenuhi berita sukan akan dipelbagaikan dengan idea lebih kreatif mengikut unit masing-masing.

Wajah baharu muka depan dan belakang akhbar Sinar Harian pada Isnin.
Wajah baharu muka depan dan belakang akhbar Sinar Harian pada Isnin.

“Di platform digital, beberapa program video dan idea kandungan baharu akan diperkenalkan.

“Sinar Harian bakal melancarkan beberapa portal khusus mengikut kumpulan pembaca yang lebih niche antaranya Sinar Varsity yang memberi fokus kepada golongan mahasiswa.

“Kita juga akan perkenalkan Pop Family, khusus untuk ibu bapa muda dan keluarga yang mempunyai anak usia sekolah bagi melengkapi ekosistem kandungan Sinar Bestari,” katanya.

Menurut Zamri, pertambahan portal berkenaan melengkapi segmen Sinar Harian sedia ada termasuk Sinar Bestari, Sinar Islam, Sinar Plus dan Sinar Daily.

Setiap saluran katanya, membawa identiti dan fokus tersendiri dengan matlamatnya tetap sama iaitu memastikan kandungan disampaikan relevan, bermanfaat serta dekat dengan rakyat.

Gelombang merah

Bagi memastikan wajah baharu jenama ini kekal relevan sebagai platform massa yang mampu mendekati semua lapisan masyarakat, Sinar Harian bakal melancarkan ‘gelombang merah’ di seluruh negara melalui program promosi dan acara lapangan.

Orang ramai berpeluang menjadi sebahagian pemenang wang tunai RM10,000 dengan memakai baju merah pada hari ini, 1 Disember dan memuat naik gambar bersama akhbar Sinar Harian di media sosial.
Orang ramai berpeluang menjadi sebahagian pemenang wang tunai RM10,000 dengan memakai baju merah pada hari ini, 1 Disember dan memuat naik gambar bersama akhbar Sinar Harian di media sosial.

Orang ramai berpeluang menjadi sebahagian pemenang wang tunai RM10,000 dengan memakai baju merah pada hari ini, 1 Disember dan memuat naik gambar bersama akhbar Sinar Harian di media sosial.

“Kami berharap perubahan ini mendekatkan Sinar Harian dengan pembaca, memenangkan hati rakyat dan menjadi jambatan antara rakyat dengan kerajaan, agensi dan juga syarikat korporat.

“Sinar Harian bukan sekadar media menyampaikan berita, tetapi mahu menjadi aspirasi rakyat,” kata beliau.

Ringkasan AI

  • Sinar Harian melancarkan wajah dan arah tuju editorial baharu menjelang ulang tahun ke-20
  • Berteraskan cogan kata Suara Rakyat sebagai refleksi perjalanan dua dekad
  • Pendirian unik menyediakan platform seimbang bagi pemimpin kerajaan dan pembangkang
  • Mengutamakan kewartawanan penyelesaian untuk membina generasi lebih baik
  • Melakukan perubahan besar pada platform cetak dan digital serta melancarkan portal khusus untuk golongan tertentu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!