29 ADUN Pahang setuju potong elaun selama tiga bulan

Wan Rosdy bersama wakil ADUN yang bersetuju potong elaun untuk Tabung Covid-19 Pahang.
Wan Rosdy bersama wakil ADUN yang bersetuju potong elaun untuk Tabung Covid-19 Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 29 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang mengikut jejak Menteri Besar dan barisan Exco apabila bersetuju elaun mereka dipotong 10 peratus selama tiga bulan bermula April hingga Jun depan untuk disalurkan ke Tabung Covid-19 Pahang.

Mereka terdiri daripada 14 ADUN BN, Pas (lapan) dan DAP (tujuh) manakala dua ADUN dari PKR tidak membuat potongan elaun, sebaliknya membantu rakyat dengan cara lain.

Perkara itu dimaklumkan melalui kenyataan bersama ADUN Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (BN); ADUN Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabbar (Pas) dan ADUN Bilut, Lee Chin Chen (DAP) hari ini.

"Usaha ini sebagai manifestasi empati dan solidariti ADUN terlibat terhadap kesulitan yang dihadapi rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Adalah diharapkan agar usaha ini mampu meringankan beban rakyat dan menyemarakkan lagi sumbangan pelbagai pihak lain kepada Tabung Covid-19 Pahang," kata kenyataan itu.

Semalam Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan 10 Exco bersetuju untuk melaksanakan potongan gaji 10 peratus selama tiga bulan bermula April hingga Jun depan untuk disumbangkan sepenuhnya kepada Tabung Covid-19 Pahang yang diwujudkan kerajaan negeri sebelum ini.

Sebelum itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak memaklumkan 10,000 penjawat awam Pahang bersedia memotong gaji mereka untuk disumbangkan ke Tabung Covid-19 Pahang.

Mereka terdiri daripada penjawat awam lantikan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan-badan berkanun negeri Pahang.

Artikel Berkaitan:

Melalui usaha dan pengorbanan penjawat awam yang prihatin itu, dianggarkan RM100,000 sebulan dapat dikumpulkan untuk disumbangkan ke tabung tersebut.