Ribuan rakyat Israel beratur panjang mohon kewarganegaraan Portugal

TEL AVIV – Ribuan rakyat Israel dilaporkan beratur sejak awal pagi Jumaat di Cinema City Glilot, Ramat Hasharon bagi mendapatkan slot temu janji dengan Kedutaan Portugal untuk memohon kewarganegaraan negara berkenaan, selain memperbaharui pasport.
Barisan yang sesak itu dilihat menjangkau hingga ke kawasan parkir bawah tanah, susulan pengumuman kedutaan mengenai program khas ‘Old Times Are Back’ yang membenarkan orang ramai hadir secara terus tanpa perlu temu janji dalam talian sekali gus memintas sistem tempahan digital kedutaan yang sering penuh.
Program khas yang dibuka selama dua bulan bermula Disember dan Januari itu menarik kehadiran jauh melebihi jangkaan. Ada yang tiba sebelum subuh, manakala sebahagian lain terpaksa berpatah balik selepas melihat panjangnya barisan.
Menurut kenyataan Kedutaan Portugal di Facebook, ribuan pemohon berjaya dibantu sepanjang acara itu dan “tiada siapa ditinggalkan tanpa perhatian”.
Portugal baru-baru ini mengumumkan bahawa mulai Mei 2026, tempoh sah pasport akan dilanjutkan daripada lima kepada 10 tahun. Namun, pemohon yang hadir pada Jumaat masih akan menerima pasport lima tahun mengikut peraturan semasa.
Permintaan rakyat Israel untuk kewarganegaraan Portugal melonjak sejak 2015 selepas Lisbon memperkenalkan undang-undang yang membenarkan keturunan Yahudi Sefardi yang menjadi mangsa pengusiran pada abad ke-16 memohon kewarganegaraan sebagai bentuk pemulihan sejarah.
Kerajaan Portugal pernah bercadang menamatkan dasar tersebut pada Disember 2023, namun akhirnya hanya mengetatkan syarat permohonan. Pemohon kini perlu membuktikan hubungan lebih kukuh dengan Portugal, termasuk menetap di negara itu sekurang-kurangnya tiga tahun.
Kewarganegaraan Portugal menjadi pilihan ramai rakyat Israel disebabkan kelebihan pasport Kesatuan Eropah (EU) yang membolehkan pergerakan bebas di seluruh EU, kos sara hidup lebih rendah berbanding Israel, serta peluang pendidikan tinggi dengan yuran lebih rendah untuk warga EU.
Permintaan terhadap pasport kedua semakin meningkat sejak perang yang tercetus pada 7 Oktober 2023, menyaksikan peningkatan ketara rakyat Israel mencari alternatif keselamatan dan kestabilan, selain puluhan ribu yang telah meninggalkan negara itu sejak konflik bermula. – Agensi
Ringkasan AI
- Ribuan rakyat Israel beratur di Cinema City Glilot untuk mendapatkan kewarganegaraan Portugal tanpa temu janji
- Program khas 'Old Times Are Back' dibuka untuk dua bulan, menarik kehadiran lebih ramai dari jangkaan
- Ribuan pemohon berhasil dibantu, dan tiada siapa yang ditinggalkan tanpa perhatian
- Permintaan kewarganegaraan Portugal meningkat sejak 2015 ketika Lisbon memperkenalkan undang-undang untuk keturunan Yahudi Sefardi
- Kewarganegaraan Portugal menawarkan kelebihan seperti akses pergerakan bebas di Kesatuan Eropah, kos sara hidup dan pendidikan yang lebih rendah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

