Protes meletus di Israel ketika Netanyahu mohon pengampunan skandal rasuah

Kumpulan demonstran berhimpun di luar kediaman Presiden rejim Israel, Isaac Herzog di Tel Aviv sebagai membantah permohonan pengampunan Presiden yang dikemukakan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.-Agensi
Kumpulan demonstran berhimpun di luar kediaman Presiden rejim Israel, Isaac Herzog di Tel Aviv sebagai membantah permohonan pengampunan Presiden yang dikemukakan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.-Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Ribuan penduduk Israel turun ke jalan raya pada Ahad bagi membantah tindakan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang memohon pengampunan Presiden untuk menghindari kemungkinan hukuman penjara berhubung pertuduhan rasuah yang dihadapinya sejak lapan tahun lalu.

Protes besar itu berlangsung di luar kediaman Presiden Isaac Herzog, dengan penunjuk perasaan membawa sepanduk dan replika pisang bertulis 'Pardon', menyamakan langkah Netanyahu dengan tindakan 'Republik pisang' yang merosakkan integriti undang-undang negara.

Netanyahu, 76, telah menyerahkan permohonan rasmi kepada Presiden Herzog, walaupun undang-undang biasanya menuntut pengakuan salah sebelum pengampunan dapat dipertimbangkan.

Laporan antarabangsa menyebut permohonan tersebut tidak mengandungi sebarang pengakuan sedemikian, mencetuskan kritikan meluas.

Dalam satu kenyataan video, Netanyahu mendakwa keadaan keselamatan dan politik negara 'memaksa' beliau membuat permohonan itu, sambil menyifatkan perbicaraannya sebagai faktor utama yang mencetuskan perpecahan dalam masyarakat Israel.

Namun pemimpin pembangkang menegaskan Presiden perlu menolak permohonan tersebut kecuali Netanyahu mengaku bersalah dan bersara daripada politik.

Ketua Pembangkang Yair Lapid berkata, pengampunan hanya wajar diberikan jika Netanyahu 'mengakui kesalahan, menyesal dan berundur segera.'

Bekas Perdana Menteri Naftali Bennett turut berpendapat sebarang perjanjian yang menamatkan perbicaraan hanya boleh dipertimbangkan sekiranya Netanyahu meninggalkan pentas politik secara kekal.

Tokoh paling lantang mengkritik langkah itu ialah Benny Gantz, Pengerusi Parti Perpaduan Nasional, yang mendakwa Netanyahu sedang mengalihkan perhatian rakyat daripada rang undang-undang kontroversi mengenai pengecualian perkhidmatan tentera.

Artikel Berkaitan:

“Dia menyalakan api, kemudian mahu dilindungi untuk memadamkannya,” katanya.

Pejabat Presiden Herzog dalam kenyataan ringkas menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan politik dan akan menilai permohonan tersebut secara bebas.

Netanyahu kini berdepan tiga kes rasuah utama, dikenali sebagai Kes 1000, 2000 dan 4000 melibatkan dakwaan sogokan, layanan media berat sebelah serta kelebihan peraturan kepada rakan perniagaannya.

Beliau turut disenaraikan dalam siasatan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung dakwaan jenayah perang di Gaza, walaupun tuduhan itu masih dipertikaikan di peringkat antarabangsa.-Agensi

Ringkasan AI

  • Ribuan penduduk Israel membantah Benjamin Netanyahu memohon pengampunan Presiden untuk mengelak hukuman penjara atas pertuduhan rasuah
  • Protes diadakan di luar kediaman Presiden Isaac Herzog dengan penunjuk perasaan membawa sepanduk bertulis 'Pardon'
  • Netanyahu, tanpa mengaku salah, memohon pengampunan yang menimbulkan kritikan meluas
  • Pemimpin pembangkang mendesak Netanyahu mengaku bersalah dan bersara daripada politik demi pengampunan
  • Presiden Herzog menegaskan akan menilai permohonan pengampunan secara bebas tanpa tekanan politik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!