Needa Ross: Dari pramugari ke pentas dunia, kisah bangkit seorang survivor

LAHIR di Pulau Pinang dan mendapat pendidikan di Convent Green Lane, Needa Abdullah atau lebih dikenali sebagai Needa Ross pernah bercita-cita menjadi pegawai polis. Membesar dengan nilai disiplin, kerja keras dan keyakinan diri, kerjaya kepolisian dirasakan paling dekat dengan jiwanya.
Namun, perancangan ALLAH lebih sempurna. Selepas menamatkan pengajian di ITM Segamat, hidup Needa berubah apabila menerima tawaran sebagai Pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) pada tahun 1990. Kerjaya itu membuka pintu dunia, memperkenalkan beliau kepada disiplin tinggi, standard perkhidmatan bertaraf antarabangsa dan pengalaman profesional yang meluaskan pandangan hidupnya.
Dalam kesibukan bertugas, Needa tetap komited meningkatkan ilmu dengan mengikuti pengajian separuh masa dalam bidang Marketing & Public Relations di Stamford College, Kuala Lumpur.

12 Tahun Sebagai Ibu Tunggal: Fasa sukar yang mencipta kekuatan
Antara titik paling mencabar dalam hidupnya adalah ketika bergelar ibu tunggal selama 12 tahun. Dalam tempoh itu, beliau membesarkan anak seorang diri sambil bekerja sepenuh masa dalam dunia korporat.
Berhadapan komitmen pinjaman rumah dan kos sara hidup, Needa memilih untuk berdikari sepenuhnya. Beliau bekerja siang dan malam, malah mengusahakan jualan nasi lemak sebagai pendapatan tambahan demi memastikan anaknya hidup selesa dan mendapat pendidikan terbaik.
“Saya pernah tinggal RM20 dalam dompet. Ketika itu saya terpaksa memilih antara makan atau mengisi petrol. Saya pernah jatuh, tetapi saya tidak pernah putus asa. Setiap kali saya jatuh, saya bangun semula kerana saya yakin Allah tidak akan membiarkan saya terus tersungkur.”
Walaupun melalui pelbagai cabaran, beliau tidak pernah mengeluh. Sokongan ibu dan keluarga menjadi tiang utama. Hari ini, anak yang dibesarkan penuh kasih dan disiplin itu telah berjaya menamatkan pengajian universiti, memiliki kerjaya stabil dan berumah tangga, sebuah pencapaian yang amat membanggakan.
Pada 2011, Needa dipertemukan jodoh baharu, seorang suami yang penyayang, memahami dan sangat menyokong perkembangan kerjaya serta pembangunan diri beliau. Sejak itu, hidupnya kembali seimbang dan dipenuhi keberkatan.
Kerjaya korporat, hospitality & komunikasi strategik
Selepas menamatkan kerjaya pramugari, Needa melangkah ke dunia korporat dan pernah berkhidmat dengan syarikat besar seperti Melewar Corporation, DRB-Hicom dan AMP Corporation. Di AMP Corporation, beliau berkhidmat selama 12 tahun, bermula sebagai Personal Assistant kepada Group CEO/Chairman sebelum dinaikkan pangkat sebagai Corporate Communications Manager.
Jawatan strategik itu membawanya berurusan dengan kementerian utama termasuk Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan (MINDEF), sekali gus mengukuhkan kredibiliti beliau dalam komunikasi korporat dan hubungan strategik.
Kerana kecintaan terhadap industri hospitaliti, Needa kemudian menyertai sektor perhotelan sebagai Senior Sales Manager. Ketika pandemik Covid-19, prestasinya membolehkan beliau ditawarkan jawatan Assistant Director of Sales, namun terpaksa ditolak demi komitmen keluarga.
Beliau kemudian kembali ke dunia korporat dan sehingga kini. Selama enam tahun berkhidmat dalam industri oil & gas sebagai Senior Executive Assistant kepada Group Managing Director, merangkumi tugasan komunikasi korporat, pengurusan eksekutif dan penyelarasan strategik.

Certified Trainer HRD Corp & Advokat Pemerkasaan Wanita
Dengan pengalaman luas dalam penerbangan, korporat dan hospitaliti, Needa memperoleh pensijilan Train-the-Trainer (TTT) dan kini bergelar Certified Trainer HRD Corp.
Beliau melatih dalam pelbagai modul soft skills, antaranya,Administrative Excellence; Customer Service Excellence; Call Handling Excellence; Professional Customer Handling Skills; Grooming (Lelaki & Wanita); Personal Branding; Managing Harassment & Bullying at Work dan Cabin Crew Interview Preparation Workshop yang menjadi antara modul paling mendapat sambutan kerana bersandarkan pengalaman sebenar industri penerbangan.
Mrs of Malaysia: Dari kisah peribadi ke pentas dunia
Pada 2025, Needa melakar sejarah peribadi tersendiri apabila menyertai Mrs of Malaysia, sebuah pertandingan ratu cantik berfokuskan pemerkasaan wanita. Ia bukan sekadar pertandingan kecantikan tetapi menonjolkan konsep beauty with purpose wanita sebagai pemimpin, inspirasi dan agen perubahan sosial.
Keberanian Needa membawa kisahnya sebagai ibu tunggal dan wanita kerjaya membawa beliau ke pentas antarabangsa, sebelum dinobatkan sebagai Mrs Global International 2025 di Bangkok.
Personaliti media sosial & suara inspirasi komuniti
Di media sosial, Needa dikenali sebagai personaliti yang tegas, lantang bersuara tetapi penuh nilai. Beliau berkongsi motivasi, tips kerjaya, grooming dan pengalaman sebenar yang memberi inspirasi kepada puluhan ribu pengikut.
Nama Needa Ross juga semakin dikenali melalui penampilannya dalam podcast Borak Dalam Galley bersama Zarul Umbrella, sebanyak tiga kali. Gelaran mesra “Mak Tiri” yang diberikan kepadanya mencerminkan ketegasan, standard kerja tinggi dan kejujuran pendapat yang menjadi identiti dirinya.
Melalui pelbagai platform, beliau kini menjadi advokat aktif dalam program pemerkasaan wanita, memberikan motivasi kepada mereka yang ingin bangkit memperbaiki diri dan membina keyakinan baharu.
Kisah hidup Needa Abdullah bukan kisah biasa, ia adalah perjalanan seorang survivor, wanita yang pernah rebah tetapi bangkit berulang kali, memperbaharui diri melalui ilmu, kemahiran dan ketabahan.
Daripada pramugari MAS, ke korporat, ke pentas antarabangsa, hinggalah menjadi Certified Trainer HRD Corp serta personaliti berpengaruh, beliau membuktikan bahawa setiap cabaran boleh menjadi batu loncatan.
Hari ini, Needa berdiri sebagai seorang profesional yang dihormati, trainer bertauliah, advokat wanita, personaliti media sosial dan emcee acara korporat siap sedia berkongsi ilmu, menyuntik semangat dan membantu orang lain membina versi terbaik diri mereka.
FB : Needa Abdullah
IG : Needa Abdullah
Tik Tok : Needa Ross
Ringkasan AI
- Lahir di Pulau Pinang dan mendapat pendidikan di Convent Green Lane, Needa Abdullah bercita-cita menjadi pegawai polis tetapi hidupnya berubah apabila menjadi Pramugari Penerbangan Malaysia
- Selepas karir sebagai pramugari, Needa melanjutkan pembelajaran dalam bidang Marketing & Public Relations di Stamford College dan kemudian terjun ke dunia korporat dalam berbagai peranan strategis
- Beliau menghadapi cabaran sebagai ibu tunggal selama 12 tahun, membesarkan anaknya dengan penuh disiplin dan kerja keras, termasuk berjualan nasi lemak sebagai pendapatan tambahan
- Needa memperoleh pensijilan Train-the-Trainer dan kini bergelar Certified Trainer HRD Corp, melatih dalam pelbagai modul soft skills berdasarkan pengalaman luasnya
- Menyertai Mrs of Malaysia dan dinobatkan sebagai Mrs Global International 2025, Needa Abdullah menjadi inspirasi melalui kisah perjuangan hidupnya sebagai ibu tunggal dan profesional berjaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

