Penunggang motosikal maut rempuh belakang kereta di lorong kecemasan

Keadaan motosikal dan kereta yang terbabit dalam kemalangan terbabit. Foto IPD Batu Pahat
Keadaan motosikal dan kereta yang terbabit dalam kemalangan terbabit. Foto IPD Batu Pahat
A
A
A

BATU PAHAT – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah kereta di Kilometer (KM) 84.8, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Ayer Hitam, malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulnuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.33 malam ketika mangsa yang berusia 23 tahun dalam perjalanan dari arah utara menuju ke selatan.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai merempuh sebuah kereta yang berada di lorong kecemasan akibat mengalami kerosakan enjin dan sedang menunggu bantuan.

"Difahamkan, kereta terbabit dipandu seorang wanita warga Singapura berusia 49 tahun bersama suaminya, seorang lelaki warga China berumur 24 tahun.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu serta penumpang kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat bagi pemeriksaan lanjut dan proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau membahayakan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!