Worldwide Holdings terbitkan sukuk wakalah RM2.76 bilion bagi stesen janakuasa Pulau Indah

PULAU Indah Power Plant Sdn Bhd (PIPP), anak syarikat Worldwide Holdings Berhad (WHB), telah berjaya menerbitkan Sukuk Wakalah RM2.76 bilion di bawah program Sukuk Wakalah sehingga RM3.0 bilion dalam nilai nominal, menjadikannya urus niaga Sukuk pembiayaan projek sektor tenaga terbesar di Malaysia sejak 2018.
Sukuk ini distrukturkan di bawah prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar, menerima penarafan AA+ oleh MARC, mencerminkan asas kredit PIPP yang kukuh, keterlihatan hasil jangka panjang yang stabil di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 21 tahun, serta peranan penting stesen berkenaan dalam memperkukuh keselamatan tenaga negara.

Terbitan ini turut menandakan usaha penstrukturan semula pembiayaan Sukuk brownfield yang berimpak besar di Semenanjung Malaysia, mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap prestasi, kestabilan, dan kepentingan strategik aset tenaga yang telah beroperasi.
Sebagai komponen utama strategi pembiayaan jangka panjang PIPP, pelaksanaan Sukuk ini disokong oleh Penyusun Utama Bersama (Joint Lead Arranger), Maybank Investment Bank Berhad (Maybank) dan RHB Investment Bank Berhad (RHB); serta Pengurus Utama Bersama iaitu Maybank, RHB, HSBC Amanah Malaysia Berhad (HSBC) dan United Overseas Bank (Malaysia) Berhad (UOB).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WHB, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, penglibatan mereka mencerminkan penyertaan institusi yang kukuh daripada institusi kewangan terkemuka dalam pasaran modal hutang Malaysia.
“Terbitan ini memberi isyarat keyakinan kukuh para pelabur terhadap asas kewangan PIPP dan sumbangan jangka panjang PIPP kepada kebolehpercayaan tenaga negara. Dana yang diperoleh akan mengukuhkan kedudukan kewangan PIPP dengan kemudahan membiayai semula pembiayaan bersindiket sedia ada, menyokong komitmen operasi stesen, melakukan pra-pembiayaan rizab yang diperlukan dan menampung keperluan korporat serta modal kerja PIPP,” katanya dalam satu kenyataan.
Kemudahan turbin kitaran gabungan berkapasiti 1,200 MW (CCGT) tersebut, yang mencapai Tarikh Operasi Komersial pada Mac 2025, telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), dengan kehadiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menandakan kepentingan nasional dan negeri projek tersebut.
Dikuasakan oleh turbin 9HA.01 keluaran terkini GE Vernova, dengan keupayaan sedia-hidrogen sehingga 50:50 pembakaran bersama hidrogen dan gas asli, PIPP berada dalam kelompok stesen janakuasa paling efisien dan bersedia untuk masa hadapan di Malaysia, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan agenda ekonomi hijau negeri Selangor.
Kebolehpercayaan operasinya turut diperkukuh melalui perjanjian perkhidmatan jangka panjang dengan pengeluar turbin GE serta sokongan teknikal oleh KEPCO sebagai rakan projek WHB dalam PIPP.
Dengan teknologi turbin canggih dan struktur PPA jangka panjang, kejayaan terbitan Sukuk Wakalah ini mengukuhkan kedudukan PIPP sebagai aset strategik dalam landskap tenaga Malaysia yang sedang berkembang.
"WHB komited untuk terus menyampaikan infrastruktur masa depan yang menyokong pembangunan negara dan aspirasi ekonomi hijau negeri Selangor," kata Norazlina.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
